Inna lillahi wa inna alaihi raji'un! Gambar BorneoPost

Tok Nan telah pergi genap setahun hari ini: Kenangan peribadi sejak 1985

Bersama isteri dengan Tok Nan dan Puan Sri Jamilah 2014. Gambar Sanib

Hari ini, 11 Januari 2018 genap setahun Tok Nan, Ketua Menteri Sarawak ke-5 kembali ke rahmatullah.  Allahyarham telah dilantik sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari 2014 dan telah kembali meninggalkan kita pada hari ini setahun lalu pada 11 Januari 2017.  Namum dalam masa yang singkat itu Allahyarham telah mempamerkan gaya kepimpinan tersendiri yang mengkagumkan dan disanjungi oleh semua lapisan masyarakat di Sarawak, khususnya dan di Malaysia, amnya.  Marilah kita berdoa semoga ruh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Sebagai sejarawan dan sebagai pegawai aku menyimpan kenangan peribadi bersama Tok Nan bermula pada tahun 1985 di Kuala Lumpur.  Kali terakhir pula aku bertemu dengan Tok Nan adalah pada 4 Disember 2016 di Kuching.  Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 11 Januari 2017.  Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Bertemu Kerana Buku
Bukuku. Gambar Sanib

Pada satu hari pada tahun 1985 aku menerima telefon daripada seorang bernama Abang Wahid (Allahyarham) yang memperkenalkan dirinya sebagai Setiausaha Sulit YB Adenan Satem. Dia memberitahu Datuk Adenan Satem maok jumpa kitak di Kuala Lumpur esok. Aku kata aku sik cukup duit maok membeli tiket belon dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Nya madah sik buh bingung, kelak YB Adenan ngator.  Tidak lama kemudian tiket sampai.

Pada esok harinya aku dapat berjumpa dengan Tok Nan pada tahun 1985 di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur. Ketika itu aku menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia di kampus Skudai, Johor. “Nib, I have read your book, The Malay Politics in Sarawak. Bagus buku ya. I want to publish in the Sarawak Tribune in several series.” Aku kata kita terlebih dahulu mesti memohon kelulusan daripada Oxford University Press di Singapura.

Pertemuan yang singkat tetapi kini menjadi satu sejarah dalam hidupku. Aku telah bertemu dengan seseorang yang akan menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februai 2014!

Datuk Taha Ariffin Bapa Ngap Sayot

Akupun pulang ke Skudai, Johor. Malangnya Oxford University Press tidak memberi kebenaran kerana buku itu sebenarnya baharu beberapa bulan sahaja dalam pasaran. Aku berasa sangat bangga kerana ada orang Sarawak sendiri yang telah membeli dan membaca buku, The Malay Politics in Sarawak, 1946-1966: In Search of Unity and Ascendancy berdasarkan tesis Sarjana, Universiti Malaya tahun 1981. Buku ini dan tulisan aku yang lain pernah menemukan aku dengan Tok Taha (Datuk Taha Ariffin dan bapa ngap sayot) yang telah kembali ke rahmatullah tahun 2007, juga sahabat karib Tok Nan.

Tok Taha telah menyambung semula perkenalan aku dengan Tok Nan pada tahun 1990. Beliau juga telah tertarik dengan bukuku dan pada tahun 1988 telah menjemput aku menyertai Seminar Budaya Melayu Sarawak I dalam rangka Simposium Budaya Sarawak. Pada tahun 1989 Tok Taha menawarkan satu jawatan untuk aku pulang ke Sarawak sebagai Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial. Rancangan aku untuk berada dekat dengan kampung halaman di Lawas tidak menjadi kenyataan. Aku berhijrah lagi ke Kuching; balik negeri sendiri memang mengembirakan hatiku.

Beliang Hati Tok Nan Sik Maok Berucap

Semasa berkhidmat dalam Majlis Pembangunan Sosial kami memberi tumpuan kepada pelajar dan belia. Acara belia kebanyakannya berbentuk kem yang melibatkan 100 orang. Antara tempatnya adalah di Kem Belia Pueh (Lundu), Sarikei, Kapit, Simalajau (Bintulu), Miri dan Limbang. Majlis perasmian atau penutupan biasanya aku menjemput Tok Nan sebagai menteri dan sebagai agenda politik mendekati para belia.

Beliau jarang menghampakan kami. Kehadirannya tanpa protokol menghilangkan rasa kepak dan lelah. Di samping itu ucapan beliau biasanya ringkas dan tidak membosankan. Aku tidak dapat melupakan satu peristiwa semasa penutupan kem belia di Simalajau, Bintulu. Tok Nan tidak memberi ucapan sebaliknya bertanya kepada peserta mengapakah kem ini bagus dan bermanfaat kepada belia seperti yang aku katakan dalam kata-kata aluan? Aku dan ahli jawatankuasa terperanjat dan beliang hati? Aku mengharapkan ada peserta yang berani berdiri menjawab Tok Nan yang bermuka menjus dan menggerunkan. Alhamdulillah, ada seorang peserta bangun berdiri dan memberi hujah yang positif. Peserta lain kemudian dengan sukarela bangun dan memberi sokongan.  Nyaman nyawa!

Buka Puasa Di Kampung

Sebagai pegawai aku kadangkala diarah menyertai rombongan Tok Nan melawat kawasannya di Samarahan. Satu lawatan yang sukar dilupakan adalah acara berbuka puasa Ramadan pada sekitar tahun 2000. Kebetulan pula pada tahun itu mendiang Profesor Alex Castle, bekas pensyarah Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dan Tok Nan semasa menuntut di University of Adelaide, Australia telah ikut bersama-sama. Kampung-kampung yang diziarahi agak jauh seperti Kampung Lubuk Antu, Kampung Meranek, Kampung Mang, Kampung Parang, Kampung Jaya Ridu dan lain-lain lagi. Rombongan terpaksa bergerak mulai jam 4:00 petang dan kadangkala sampai di rumah jam 1:00 pagi!

Tok Nan, Menteri Pembangunan Sosial rasmikan Pameran Tepak Sirih. Gambar JPenerangan

Selepas berbuka puasa dan solat berjemaah Tok Nan yang biasa sukar untuk berbual tetapi berubah apabila bersama-sama orang kampung di luar bandar. Tok Nan rancak kelakar tentang ngail dan berburu dengan orang kampung tanpa jurang sosial. Kadangkala terdetik dalam hatiku: jika dengan pegawai Tok Nan sangat menjus tetapi dengan orang kampung sangat rapeh!  Tok Nan memang berjiwa rakyat, nang sik dapat dilawan.

Aku berasa bertuah dapat berkenalan dengan Tok Nan sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan kami menjadi akrab kerana meminati buku, khususnya sejarah Sarawak.

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).