Sanib dan BAHAM di sidang akhbar di Hikmah, Kuching, Sarawak

TINDAKAN SEGERA KETUA MENTERI ABANG JO KAJI RESOLUSI MELAYU SARAWAK DAPAT PUJIAN

KENYATAAN MEDIA

OLEH

DATU DR. HAJI SANIB BIN HAJI SAID

YANG DIPERTUA

IKATAN GRADUAN MELAYU SARAWAK (IGMS)

MERANGKAP

PENGERUSI

BADAN HAK ADAT BUMIPUTERA MELAYU SARAWAK (BAHAM)

 

RESOLUSI HAK ADAT BUMIPUTERA MELAYU SARAWAK

Saya ingin merujuk kepada Seminar Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak yang dianjurkan oleh Ikatan Graduan Melayu Sarawak pada 29 Januari 2018 dan deraf resolusi yang telah tersebar luas dalam Utusan Borneo, 30 Januari 2018 dan siaran Berita TV1 dan di halaman depan akhbar Borneo Post, 31 Januari 2018 . Liputan berita ini telah menarik perhatian orang ramai dan mendapat berbaga-bagai reaksi serta harapan.

Untuk mengelakkan sebarang salah faham dan berbagai-bagai tanggapan maka dengan ini saya sebagai Yang Dipertua, Ikatan Graduan Melayu Sarawak yang bertanggungjawab sebagai penganjur seminar tersebut dan sebagai Pengerusi BAHAM (Badan Hak Adat Melayu Sarawak) ingin membuat kenyataan ini seperti di bawah ini.

Dengan rasa sukacita saya mengumumkan bahawa saya telah diundang untuk berbincang oleh YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg pada pagi 31 Januari 2018. Turut serta dalam pertemuan itu adalah YB Datuk Amar Douglas Ugah, Timbalan Ketua Menteri dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, juga Timbalan Ketua Menteri. Dalam hubungan ini saya ucapkan jutaan terima kasih.

Saya sangat berpuas hati dengan pertemuan dan perbincangan kami, lebih-lebih lagi pertemuan ini adalah atas tindakan proaktif YAB Ketua Menteri sendiri untuk berbincang. Sikap YAB Ketua Menteri ini sesungguhnya di luar jangkaan saya sendiri dan anggota BAHAM. Keperihatinan YAB Ketua Menteri terhadap rakyat Sarawak sangat kami hargai dan sanjungi.

Setelah berbincang YAB Ketua Menteri menyatakan beliau dan Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa bersedia mempertimbangkan dan mendengar sebarang isu-isu berkaitan dengan hak adat dan kebajikan penduduk Melayu Sarawak. Beliau mengatakan akan mengkaji semua resolusi dan resolusi khusus tentang Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak akan dibawa dalam mesyuarat Task Force Pemakai Menua Pulau Galau untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Beliau sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai pengertian dan definisi sendiri dan perbezaan ini akan diambilkira dalam sebarang keputusan yang berkaitan.

Dengan tindakan proaktif dan dasar keterbukaan YAB Ketua Menteri maka BAHAM tidak berhajat untuk meneruskan perletakan had tempoh 14 hari kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan lanjutan. Dengan ini juga BAHAM menaruh kepercayaan pada kebijaksanaan kepimpinan YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk mempertimbangkan semua resolusi Seminar Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak.

Kami ingin menegaskan bahawa Hak Adat Bumiputera (Native Customary Rights), bukan sekadar tanah, semua bumiputera dalam negeri Sarawak memiliki hak ini seperti yang termeteri dalam Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia seperti juga warga bumiputera lain. Kami akan mempertahankan kedua perlembagaan ini yang telah menjamin hak Melayu Sarawak sebagai bumiputera. Oleh yang demikan kami berharap semua penduduk negeri Sarawak, khususnya dan Malaysia, amnya mesti menghormati hak bumiputera Melayu Sarawak sebagai bumiputera.

BAHAM (Badan Adat Hak Bumiputera Melayu Sarawak) kini dianggotai oleh:

  1. Ikatan Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS)
  2. Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)
  3. Persatuan Melayu Miri (PMM)
  4. Persatuan Melayu Limbang (PML)
  5. Persatuan Melayu Sarawak (PMS)
  6. Persatuan Warga Islam Saribas (PEWARIS)
  7. Harakah Islamiah – HIKMAH
  8. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  9. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
  10. Halaqah Kemajuan Muslim Sarwaak (HIKAM)
  11. Gagasan Pendidikan Sarawak
  12. Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Sarawak (IKRAM)
  13. Persatuan Anak Jati Lawas Sarawak (JATI)
  14. Persatuan Anak Limbang Kuching (DANGSANAK)
  15. Persatuan Anak Melayu Kabong
  16. Persatuan Persaudaraan Sri Aman Betong (PPMSAB)
  17. Persatuan Pembangunan Muslim Betong.

_________________________

Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said

Yang Dipertua IGMS merangkap

Pengerusi BAHAM

 

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).