Kelihatan peserta demonstrasi bersongkok

SIAPAKAH HARUS JELASKAN TANAH ADAT MELAYU SARAWAK?: JANGAN TUNGGU LAMA-LAMA

YB Tan Sri Dr. James Masing

TAN SRI JAMES MASING, salah seorang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, telah dipetik oleh beberapa berita media sosial sebagai menjelaskan definisi Tanah Adat Melayu Sarawak.  Penjelasan beliau ini telah mendapat pelbagai reaksi dalam masyarakat Melayu Sarawak.  Dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak terdapat mereka yang menyambut baik pandangan James Masing kerana belum ada lagi wakil rakyat Melayu Sarawak yang tampil kehadapan.  Tetapi ada juga cendiakawan Melayu tidak bersetuju dan menyatakan bahawa beliau tidak layak mengajar orang Melayu Sarawak.

Ketua Menteri Abang Johari, Wakil Rakyat Melayu

Hanya Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari, seorang wakil rakyat Melayu Sarawak, yang pernah menyatakan bahawa Melayu Sarawak mempunyai definisi Tanah Adat tersendiri yang mesti diambilkira jika Sarawak Land Code (1958) perlu dipinda seperti yang dituntut oleh masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban yang menggunakan istilah “pulau galau” dan pemakai menoa”.  Abang Johari juga mengatakan, “We cannot have the law of the jungle.”

James Masing dipetik sebagai berkata, “Orang Melayu secara tradisinya adalah nelayan. Mereka memperoleh sumber pencarian mereka dengan menangkap ikan di sekitar lautan yang berhampiran. Dengan itu orang Melayu menyedari lautan sekelilingnya merupakan ‘pemakai menoa’ mereka,”  Tambah beliau kawasan “untuk orang Melayu, merupakan sekitar laut”.

Fakta James Masing Tidak Boleh Diterima

Apa yang diberitakan sebagai penjelasan James Masing tidak semuanya betul.  Beliau secara rambang sahaja mengatakan bahawa masyarakat Melayu Sarawak adalah penduduk pesisir pantai.  Pada mata kasar masa kini sebilangan besar orang Melayu Sarawak tinggal di pesisir pantai dan di tepi sungai.  Penjelasan James Masing tentang fakta ini adalah tidak boleh diterima.  Jika kaum Iban berhujah hak mereka telah wujud sejak “time immemorial” maka unsur keadaan masa silam telah diambil kira.

Melayu Sarawak Pedalaman Seperti Belaga

Begitulah juga kaum Melayu Sarawak mesti juga diamati dari segi kedudukan mereka pada masa silam, “time immemorial” itu.  Bagaimanakah taburan penduduk kaum Melayu Sarawak pada masa silam.  Bukti bertulis dan lisan menegas bahawa kaum Melayu Sarawak telah pernah mendiami kawasan pedalaman seperti di Belaga, di tengah-tengah Borneo, semenjak zaman Kesultanan Melayu Brunei lagi, lama sebelum Brooke.

Di Belaga terdapat sebuah kampung bernama Kampung Burung Pingai.  Kampung ini telah mengambil nama sebuah kampung di bandar Brunei dahulu dan juga sekarang ini.  Penduduk Melayu kampung ini adalah pedagang terkenal dan mereka telah berniaga hingga ke Belaga.  Mereka di sini bergelar Pengiran dan Awang dan dari sumber lisan menyatakan mereka masih mempunyai tali persaudaraan di Brunei Darussalam sehingga sekarang.

Melayu Sarawak di Ulu Skrang

Beberapa tempat lain di pedalaman perlu diiktiraf sebagai kawasan kaum Melayu Sarawak, malah lebih awal dari kedatangan kaum Iban dari Hulu Kapuas. Sebelum wujudnya Simanggang pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Brunei adalah di Hulu Skrang.  Di sinilah Sharif Mullar dan Sharif Sahib memerintah dan kemudian disusuli oleh Pengiran Indera Mahkota Muhamad Salleh.

Justeru itu apa bila James Masing menyatakan bahawa kaum Melayu Sarawak hanya ada hak Tanah Adat di lautan sahaja itu adalah kesalahan fakta sejarah.  Beliau secara tidak langsung mengatakan bahawa kaum Melayu Sarawak tidak ada hak di kawasan daratan, iaitu tanah.

Konsep “time immemorial” tidak boleh digunakan tanpa fakta sejarah masa silam yang perlu dijadikan bukti.  Sejarah sebenarnya berlandaskan konsep “masa dan ruang” atau time and space. Ertinya bila sesuatu terjadi dan di mana tempatnya yang boleh dibuktikan bukan sekadar menunjuk dan berkata-kata dengan sewenangnya.

Dapatkan Pandangan Kaum Melayu Sarawak

Dalam memperjuangkan hak dari segi undang-undang fakta-fakta dan bukti-bukti mestilah diutamakan.  Jika tidak, seperti yang dikatakan oleah Ketua Menteri, kita tidak boleh ada law of the jungle.  Justeru itu juga jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah harus mengambil inisiatif untuk mendapatkan pandangan masyarakat Melayu Sarawak dan juga kaum-kaum lain.

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).