Antara kandungan surat terakhir Rosli Dhoby, 1 Mac 1950

Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek Telah Syahid Digantung Selepas Subuh Hari Ini Pada 2 Mac 1950

ROSLI DHOBY DAN MORSHIDI SIDEK TELAH SYAHID DIGANTUNG selepas solat Subuh hari ini 60 tahun dahulu pada 2 Mac 1950 di penjara Kuching, Sarawak.  Awang Rambli Amit Mohd Deli dan Bujang Suntong pula syahid dua puluh hari kemudian, pada 23 Mac 1950 di tempat yang sama.  Mereka adalah ahli sebuah sayap sulit, Rukun 13 dalam Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPM).

Rosli Dhoby dan Rukun 13  telah memahatkan perjuangan kemerdekaan dalam sejarah Sarawak pada 3 Disember 1949.  Mereka adalah pejuang berani mati demi membela kemerdekaan Sarawak dan bukan untuk keluarga Brooke.  Fail yang dirampas oleh penjajah British yang penuh dengan surat menjadi bukti bahawa Gerakan Anti-Serahan adalah kebangkitan kebangsaan menentang penjajah Brooke dan British.

Surat Awang Ramli

Dalam sepucuk surat bertarikh 14 November 1949 yang telah rampas dan kini terdapat di National Archives di London,  Awang Ramli Amit, Setiausaha Kehormat, Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS) menulis: “Tuan Duncan George Stewart ini juga tetap akan sampai di Sibu; kita belom tau bila masa hari nya;[sic] Di antara itu kita sangat yang ampunya hak negara mesti lah dengan ber-tegap[sic] hati dan azam dengan dasar membantah perdirian [sic] sechara itu kepada beliau dengan jalan Posters ya’ni mesti ahli2 kita di-kehendaki membuat POSTER dengan mengunjamkan di tempat masing [sic] seperti biasa atau lebih dari pada biasa saterus nya[sic] “Merdeka – Tetap merdeka”.

Peristiwa bersejarah yang harus dikenang dan dihargai adalah peristiwa Rosli Dhoby melancarkan asasinasi berani mati terhadap gabenor penjajah yang merampas hak kemerdekaan Sarawak Darul Hana.

Berani Mati

Empat orang syuhada

Pada 3 Disember 1949 salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli, telah melakukan asasinasi (bukan pembunuhan) terhadap Tuan Yang Terutama Gabenor Sarawak, Sir Duncan Stewart di Sibu semasa Sarawak menjadi Tanah Jajahan Great Britain. Serangan asasinasi ini adalah tindakan berani mati yang telah dirancang oleh kumpulan Rukun 13 yang merupakan sayap sulit Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS) untuk menuntut kemerdekaan Sarawak Darul Hana.  Tokoh-tokoh utama Rukun 13 adalah Awang Rambli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek.

Selepas Perang Dunia Kedua, penjajah Brooke telah menyerahkan Sarawak Darul Hana kepada Great Britain pada tahun 1946. Vyner Brooke telah dibayar sebanyak $200,000 Pound Sterling sebagai habuan.  Jika banyak tanah jajahan kuasa barat di dunia diberikan kemerdekaan, sebaliknya Sarawak pula dijadikan sebuah Tanah Jajahan Diraja (Crown Colony) adalah satu penghinaan.

Datu Patinggi Abang Abdillah

Penghinaan ini telah membangkitkan semangat kebangsaan penduduk Melayu yang pada asalnya adalah kuasa pemerintah yang merdeka di bawah Kesultanan Melayu Brunei atau sebagai negeri-negeri yang berdaulat. Kemerdekaan orang Melayu dibuktikan dengan catatan sistem pemerintahan yang terdiri daripada Datu Patinggi, Datu Temenggong, Datu Bandar, Datu Imam dan kanun perundangan yang tersendiri.

Seperti kebanyakan tanah jajahan barat di dunia yang tidak berikan kemerdekaan, mereka telah bangkit memerangi kuasa penjajah sehingga titisan darah yang terakhir seperti Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia, Burma dan Vietnam. Ramai yang terkorban demi mengambil kembali kemerdekaan yang hak.

Menuntut kemerdekaan

Demonstrasi Gerakan Anti-Serahan

Semenjak tahun 1946 penduduk warga Melayu di seluruh Sarawak telah bangkit menentang penjajahan Great Britain. Kebangkitan kebangsaan Melayu Sarawak pada mulanya dipimpim oleh Datu Patinggi Abang Abdillah dan disokong oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Mereka kemudian telah disertai oleh Barisan Pemuda Melayu Sarawak, Persatuan Melayu Miri, Persatuan Melayu Limbang, Persatuan Melayu Simanggang dan Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS). Perjuangan ini telah menjadi sebuah pergerakan nasionalisme yang mereka namakan Gerakan Anti-Serahan.

Dayang Sofea

Pemimpin PPMS yang memainkan peranan penting adalah Awang Rambli yang memegang jawatan Setiausaha Kehormat.  Beliau adalah seorang pegawai kastam ( dan ayah kepada bintang filem Dayang Sofea) yang menggerakan Anti-Serahan di Bahagian Sibu. Setelah menentang penjajah Great Britain selama tiga tahun, Gerakan Anti-Serahan telah menjadi lemah dan tidak lagi mendapat sambutan yang jitu.

Oleh yang demikian Awang Rambli telah menubuhkan sebuah sayap sulit, Rukun 13 di dalam PPMS. Rukun 13 ini dianggotai oleh Awang Ramli Awang Amit, Bujang Suntong, Morshidi Sidek dan Rosli Dhoby. Mereka telah mendapat maklumat bahawa gabenor penjajah, Sir Duncan Stewart akan membuat lawatan rasmi ke Sibu pada 3 Disember 1949.

Rosli telah dipilih untuk melakukan asasinasi berani mati dengan bantuan Morshidi Sidek yang berlakon sebagai jurugambar untuk melalaikan gabenor dan pihak polis. Beliau adalah seorang guru dan Penolong Setiausaha dan Pengisytihar PPMS yang mempunyai darah keturunan Melayu Sambas. Pada satu detik yang sempurna Morshidi telah berlakon mengambil gambar sang gabenor yang terpaksa berhenti. Ketika jam menunjukkan pukul 9:30 pagi, pada saat itulah Rosli meluru ke arah sang gabenor lalu membenamkan sebilah badik ke perutnya.

Anthony Brooke Diperalat

Secara lahiriahnya Gerakan Anti-Serahan kelihatan berjuang untuk memgembalikan penjajahan rejim Brooke kerana mendapat sokongan oleh Anthony Brooke yang telah disingkirkan oleh Vyner Brooke untuk menjadi raja. Bagaimanapun surat-surat ahli Gerakan Anti-Serahan di kalangan persatuan, khususnya dari Kuching ke Sibu membuktikan bahawa perjuangan mereka adalah untuk menuntut kemerdekaan Sarawak.  Mereka hanya menggunakan Anthony Brooke untuk mencapai hasrat murni para pejuang ini.

Surat Awang Ramli dan Rosli Dhoby

Surat yang ditandatangani oleh Awang Ramli dan Rosli Dhoby membantah perlantikan Sir Duncan Stewart sebagai Gabenor Sarawak

Apa bila penjajah British menggeledah pejabat PKMS, PPMS, BPS, ASAS, ABAS dan yang lain mereka telah menemui surat-surat tersebut dan mengetahui perjuangan sebenar Gerakan Anti-Serahan untuk kemerdekaan Sarawak Darul Hana.  Sepucuk surat dari Awang Ramli dan Rosli Dhoby bukti mereka menuntut kemerdekaan Sarawak dengan cogan kata MERDEKA – TETAP MERDEKA!

Dalam sepucuk surat seorang pegawai tinggi di pejabat koloni, John D. Higham, di London telah mengutus surat kepada Scott, Menteri Tanah Jajahan Britain pada 22 Februari 1950.  Surat itu antara lain menyatakan: “We have now come to the definite conclusion that publication of the correspondence would be dangerous and that it would even be undiserable to show it to Anthony Brooke.”

Dunia Gempar

Sesungguhnya seorang anak muda bernama Rosli telah rela berkorban jiwa dan raganya kerana anggota polis jelas mengiringi sang gabenor. Mereka telah menangkap Rosli sejurus hajat perjuangannya tercapai. Sang gabenor telah cedera parah dan terus diterbangkan ke Kuching dan kemudian ke Singapura. Beliau telah meninggal dunia seminggu kemudian.

Surat Terakhir Rosli

Seluruh dunia gempar. Bagaimana di sebuah tanah jajahan terpencil seorang gabenor berkulit putih dari sebuah kuasa besar dunia tewas ditangan penyerang berani mati. Rosli dan sahabatnya dibicarakan dengan tipu-daya dan dengan zalim menjatuhkan hukuman mati. Rosli telah kembali ke rahmatullah pada 2 Mac 1950.

Dalam surat beliau yang terakhir bertarikh 1 Mac 1950, Rosli antara lain tetap teguh berpegang kepada Islam dan perjuangan menuntut kemerdekaan Sarawak Darul Hana. Beliau menulis:“SELIMUTILAH JENAZAH ANAKANDA DENGAN PANJI KEBANGSAAN SARAWAK.”  AL-FATIHAH!!!

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).