Simbola parti PBB.

Perhimpunan Agung PBB 2018: 7 Calon Berebut 4 Jawatan Naib Presiden

Perhimpunan Agung PBB pada tahun ini yang berlangsung di Borneo Convention Centre, Kuching, Sarawak dari 8 Februari hingga 12 Februari 2018 ini akan dipanaskan oleh 7 orang calon berebut 4 jawatan Naib Presiden untuk sayap Bumiputera bagi Melayu dan Melanau. Manakala sayap Pesaka untuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, seperti pemilihan yang lalu, kekal tanpa pertandingan.

Pemilihan Majlis Tertinggi Dingin

Biasanya persaingan sengit berlaku untuk pemilihan ahli Majlis Tertinggi tetapi perhimpunan kali ini bukan sahaja sepi malah kurang mendapat sambutan dari kalangan beberapa orang wakil rakyat sendiri. Beberapa orang pemerhati politik berpendapat bahawa keadaan ini agak ganjil kerana pada masa-masa lalu perebutan untuk ahli Majlis Tertinggi sangat sengit.

Calon-calon merebut jawatan Naib Presiden, mengikut nombor pencalonan adalah: 1 YB Dr. Abdul Rahman Ismail, 2 YB Datuk Julaihi Narawi, 3 YB Datuk Hj. Talib Zulpilip , 4 YB Dr. Annuar Rapaee, 5 YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, 6 YB Dr. Abdul Rahman Junaidi, dan 7 YB Datuk Len Talif Salleh.

Pertahankan Jawatan Naib Presiden

Hanya dua orang calon yang bertekad mempertahankan jawatan Naib Presiden, iaitu Talib Zulpilip dan Julaihi Narawi. Mereka berdua nampaknya sedang menghadapi asakan golongan muda yang mahu mendaki ke puncak kerjaya politik negeri Sarawak. Mungkin mereka dilihat sebagai singa tua yang perlu diganti untuk menyahut cabaran masa depan PBB. Bagaimanapun Julaihi mempunyai pengalaman politik yang jauh lebih lama dan Talib pula memiliki pengalaman korporat dan politik cukup kuat. Di samping itu mereka berdua adalah lulusan bidang ekonomi dan perniagaan. Ciri-ciri ini agak sukar untuk disaingi oleh pencabar muda PBB.

Seorang lagi calon yang juga berusia adalah Len Talip yang telah berkhidmat lebih lama sebagai penjawat awam yang berkelulusan dalam jurusan perhutanan. Dalam politik belum lama tetapi cepat menjawat menteri muda dan kini adalah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar.

Salah seorang pencabar muda ialah seorang lulusan undang-undang. Beliau ialah Abdul Karim yang baharu sahaja dinaikkan ke jawatan menteri penuh sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dengan keyakinan baharu, Abdul Karim pada awalnya dikatakan akan bertanding jawatan Naib Presiden Kanan. Bagaimana pun apa bila Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof, lulusan undang-undang yang tamat tempohnya turut berminat untuk menduduki jawatan Naib Presiden Kanan, Abdul Karim telah mengundur diri.

Tiga Orang Doktor Perubatan

Anehnya tiga orang calon muda yang lain merupakan doktor perubatan. Ini merupakan satu sejarah baharu yang membuatkan perwakilan terpinga-pinga dengan kemunculan doktor perubatan dalam politik Sarawak. Satu perkara yang menarik juga adalah taburan tiga orang doktor ini: Dr. Abdul Rahman Ismail berasal dari Limbang, Dr. Annuar Rapaee pula dari Sibu dan Dr. Abdul Rahman Junaidi dari Kuching. Jika diukur dari segi pengalaman politik sudah tentulah Dr. Abdul Rahman Junaidi teratas dan diikuti oleh Dr. Abdul Rahman Ismail dan Dr. Annuar Rapaee.

Faktor Inklusif

Jika diteliti semua calon mempunyai kelebihan masing-masing dari segi kelulusan akademik.  Berlandaskan faktor ini para perwakilan akan sukar membuat pilihan.

Demi kepentingan PBB jangka pendek dan panjang maka para perwakilan mesti menimbangkan beberapa faktor. Ucapan Datuk Patinggi (Dr.) Abang Johari semasa merasmikan mesyuarat Pemuda dan Wanita PBB menegaskan betapa pentingnya pendirian yang bersifat inklusif dalam PBB. Satu faktor yang bersifat inklusif adalah membuat pilihan untuk jawatan Naib Presiden yang mewakili semua peringkat umur.

Gabungan Golongan Tua dan Muda

Oleh yang demikian gabungan golongan tua dan muda harus menjadi pertimbangan dan perseimbangan yang baik untuk PBB. Dalam lain perkataan penyandang yang telah berumur 60an boleh dikekalkan dan diimbangi dengan dua orang calon dari golongan muda pula.

Taburan Zon Saksama

Faktor kedua yang harus dipertimbangkan oleh perwakilan adalah taburan yang saksama untuk seluruh negeri Sarawak. Memandangkan negeri Sarawak sangat besar maka pemilihan calon harus dapat mewakili PBB di zon utara, tengah dan selatan. Suara ahli PBB dari seluruh negeri ini boleh memberikan gambaran besar dan mengelakkan adanya zon-zon yang terpinggir.

Pertandingan untuk empat jawatan Naib Presiden sememangnya memanaskan Perhimpunan PBB pada tahun 2018 mana kala kedinginan di peringkat Majlis Tertinggi sangat menghairankan. Perbezaan ini sangat menarik untuk dikaji supaya PBB tidak akan ketandusan pemimpin pelapis pada masa akan datang.

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).