Melayu Sarawak Masih Membisu: Yang Mana Satu Idaman Kalbu, PBB Atau PPBM?

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu Melayu Sarawak masih membisu sehingga membuat orang ramai tertanya-tanya yang mana satu pilihan kalbu, PBB atau PPBM.   Melayu Sarawak seperti seorang gadis sunti menjadi rebutan parti politik dari tanah semenanjung di seberang lautan.  Perebutan semakin sengit kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri Sarawak akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.  Keadaan ini dikeruhkan lagi kerana Melayu Sarawak telah kehilangan tempat bergantung di Putrajaya akibat kekalahan Barisan Nasional (BN) di tangan Pakatan Harapan (PH).

Semua parti komponen PH kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), “parti bunga” belum lagi bertapak di bumi Sarawak Darul Hana.  Parti PKR, Amanah dan PAS yang telah lama memasuki Sarawak masih tidak berkenan di hati Melayu Sarawak.  Melayu Sarawak tetap setia memberikan undi kepada parti Sarawak sendiri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ahli Parlimen PBB Dapat Perhatian PPBM

PPBM dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Muhamad dan kini kembali memegang jawatan tertinggi negara sebagai Perdana Menteri melalui PH.  Namun PPBM adalah parti komponen yang paling sedikit mempunyai Ahli Parlimen.  Semua pihak mengetahui bahawa Ahli Parlimen PBB yang kini bersendirian juga mendapat perhatian dari PPBM.  Melayu Sarawak yang menjadi penyokong PBB secara literal memang pemalu, pendiam dan penyabar.  Parti dari Semenanjung mendapati sangat sukar untuk memikat sokongan (dan kemudian undi) Melayu Sarawak yang kini ditahap kritikal.

Abang Johari melaku kunjungan hormat kepada Tun Dr. Mahathir pada bulan Mei lzlu.

Perhubungan antara PBB dan PPBM telah terjalin dengan pantas apa bila Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Sarawak, Pehin Abdul Taib Mahmud telah bertemu dengan Mahathir Muhamad selang beberapa hari selepas menjadi Perdana Menteri.  Ini diikuti oleh kunjungan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada bulan Ramadan lalu.  Abang Johari yang kemudian membawa BN Sarawak keluar dari BN dan menyatakan bahawa PBB akan berbaik-baik dengan PH.

Kaji Sambutan Melayu Sarawak

Tidak menghairankan jika sejak kebelakangan ini orang kuat PPB, biasanya bertaraf menteri kerap menjalankan tugas rasmi ke Sarawak.  Pada 7 September 2018 ini sahaja dua orang kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau “parti bunga” telah terbang ke Kuching.  Mereka adalah Mohd. Redzuan Mohd. Yusuf, Menteri Pembangunan Usahawan dan Dr. Mazalee Malik, Menteri Pendidikan.  Mereka telah bertemu dengan penaja dan bakal ahli PPBM di Sarawak.  Mohd. Reduan telah dipetik sebagai berkata bahawa PPBM sedang mengkaji sambutan rakyat Sarawak dengan mencari bakal ahli 31 buah kawasan parlimen di Sarawak.  Beliau akan melaporkan kepada Presiden PPBM,  Mahathir Muhammad untuk membuat keputusan.

Mereka juga telah membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertuan Negeri, Pehin Abdul Taib dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari.

Bagaimanapun PPBM berdepan dengan beberapa masalah.  Dalam beberapa bulan ini terdapat beberapa orang, bukan tokoh atau pemimpin, yang mendabik dada sebagai wakil PPBM di bumi Sarawak Darul Hana seperti Affendi Jeman, Busrah Sharif, Dr. Wagiman dan yang terakhir Datuk Johan Muhamad. Perlingkahan awal telah sedikit-sebanyak mencemarkan nama baik PPBM.  Ini telah mencetuskan kekeliruan yang turut mengurangkan kepercayaan kalangan masyarakat Melayu Sarawak.

Mohd. Redzuan, Menteri Pembangunan Usahawan

Kerumitan untuk memiliki hati (undi) Melayu Sarawak yang telah lama diserahkan kepada PBB harus rungkaikan dengan kebijaksanaan.  Boleh dikatakan seperti menarik rambut dalam tepung; yang ditarik dapat dan yang ditinggalkan kekal tidak terusik sedikitpun.    Oleh sebab itu Mohd. Redzuan dipetik sebagai berkata PPBM akan berusaha mengelakkan sebarang perpecahan di kalangan rakyat Sarawak.

Memandangkan kegiatan parti-parti lain sedang rancak mengembangkan sayap mereka ke kawasan-kawasan baharu PPBM harus bertindak cepat.  Ahmad Sabu, pemimpin Parti Amanah Malaysia, telah menubuhkan cawangan di beberapa kawasan seperti Kuching, Samarahan dan Sarikei.  PKR yang telah lama berada di negeri Darul Hana masih gagal memikat hati pengundi Melayu Sarawak, mereka hanya berjaya di kawasan Iban dan Bidayuh.  PAS juga tidak menunjukkan sebarang kejayaan walaupun telah lama berada di negeri ini. DAP memang tiada tempat di hati Melayu Sarawak.

Warlord Seperti Dalam UMNO

Dapatkah gadis sunti Melayu Sarawak ini kekal sehati sejiwa bersama PBB untuk mengharungi Pilihan Raya Negeri dalam masa dua tahun ini?  Masih adakah sayang untuk PBB dalam hati masyarakat Melayu Sarawak?  Di dalam Whatsapp dan Facebook ramai jua Melayu Sarawak telah meluahkan kekecewaan mereka.  Bagi golongan muda mereka kecewa permohonan menjadi ahli tiada jawapan bertahun lamanya.  Beberapa orang ahli PBB dan juga wakil rakyat mengakui masalah ini di peringkat ranting seolah-olah ada warlord seperti UMNO.  Tapi minggu lepas, Presiden PBB, Abang Johari telah mengumumkan bahawa permohonan boleh dimajukan ke Cawangan.  Di samping itu beberapa orang profesional Melayu berasa gembira permohonan mereka telah diterima.

Kepemimpinan Wakil Rakyat

Di samping masalah keahlian sumber dari Whatsapp dan Facebook dari Kuching hingga ke Lawas banyak menimbulkan masalah kepemimpinan wakil rakyat Melayu Sarawak. Mengikut mereka Wakil rakyat Melayu Sarawak dari PBB tidak bersuara sama ada dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, Parlimen ataupun dalam akhbar  berbanding dengan wakil rakyat dari kaum lain dari Sarawak.

Mungkin belum terlambat lagi untuk PBB memperbaharui ikatannya dengan masyarakat Melayu Sarawak.  Jangan underestimate Melayu Sarawak yang pendiam dan sabar dalam lanskap politik pasca-PRU14 yang masih bergejolak dengan Tsunami Melayu dari seberang laut.

Yang mana satu pilihan kalbu (undi) Melayu Sarawak Darul Hana?  Masih adakah masa untuk menunggu atau telah terlambat sebelum PRN yang menjelang tiba.

Facebook Comments

Leave a Reply