Manifesto Barisan Nasional PRU14

Manifesto PRU14 Barisan Nasional: 2 Perkara Melayu Sarawak Rasa Kecewa

MELAYU SARAWAK KECEWA dengan Manifesto PRU14PRU14 Nasional  yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak pada 7 April 2018.  Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Arena Xiata, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan penuh gemilang dan kecanggihan teknologi.  Ribuan pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk dari Sarawak dan Sabah telah memenuhi arena tersebut dan jutaan lagi telah menyaksikan siaran langsung dalam TV.

Manifesto Barisan Nasional PRU14

Setelah semua keriuhan sorakan dan teriakan selesai malam itu tiba masanya untuk  menganalisa Manifesto PRU14 Barisan Nasional.  Kali ini manifesto ini agak berlainan kerana ada usaha untuk membuat aku janji khusus tentang isu-isu dan khusus merujuk pada negeri dan masyarakat tertentu.  Pendekatan ini memang baik tetapi ada juga risiko yang tinggi jika ada pihak dan aspek yang terlepas pandang.  Tetapi sudah pasti dokumen sepenting ini akan disaring dan diteliti banyak kali oleh pihak yang pakar dalam parti.

Memandangkan negara kita ini terdiri dari 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan dan dirumitkan pula dengan puluhan suku kaum di Sarawak dan Sabah maka menggubal sebuah manifesto adalah kerja berat dan tidak harus ada cacat-celanya.

Malangnya inilah yang terjadi yang melibatkan Melayu Sarawak, sebahagian daripada bangsa Melayu yang besar itu, berasa marah dan kecewa dengan Manifesto PRU14  Barisan Nasional.  Terdapat dua (2) perkara kenapa Melayu Sarawak tidak boleh senyum dan sebaliknya berasa kecewa.

Perkara 1. Menaiktaraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah

Bagi penduduk Sarawak apa bila dinyata rumah panjang maka itu merujuk kepada kaum Dayak yang terdiri dari kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu kerana sebilangan besar mereka mendiami rumah panjang.  Bagaimanapun kaum Melayu Sarawak, Melanau, Kedayan dan Jati Miriek tinggal di kampung-kampung di bandar dan luar bandar.  Penyelidikan dan juga kajian lapangan legeh Sungai Sarawak, Batang Sadong, Batang Saribas dan Sungai Miri mendapati sebilangan besar kampung-kampung Melayu Sarawak didapati dalam keadaan yang sangat daif.

Biasanya kampung-kampung Melayu Sarawak terdapat ditebingan sungai yang terhimpit oleh hutan di daratan dan air di sungai.  Bila air pasang maka kampung akan banjir dan ini berlaku dengan kerap.  Kampung-kampung ini mempunyai penduduk besar antara 5,000 hingga 20,000 orang.  Keadaan yang begitu padat sehingga dikatakan dalam bahasa Melayu Sarawak rumah mereka juruk bertemu juruk, iaitu dapur bertemu dapur dan tandas bertemu tandas.

Keadaan kampung Melayu Sarawak

Kepadatan penduduk dan keadaan fizikal menjadikan kampung-kampung Melayu Sarawak dalam keadaan serba kekurangan.  Keadaan tanpa sistem kebersihan menjadikan kesihatan terancam setiap masa.  Pada masa king tide banjir pula akan melanda.  Bila musim kemarau tiba, air pula menjadi punca penderitaan tahun demi tahun.

Di samping itu perlu juga diambil perhatian bahawa kampung air (rumah air) terdapat juga di Sarawak dan bukan sahaja di Sabah.  Mereka juga berhadapan dengan berbagai-bagai isu yang harus dimasukkan dalam manifesto.

Perkara 2. Memperkasa suku kaum Dayak dengan mewujudkan program khas serta bantuan dana bagi aktiviti menyukat tanah adat, usahawan-usahawan Dayak dan pengajaran Bahasa Dayak.

Melayu Sarawak ada yang kecewa dengan aku janji ini di dalam manifesto kerana isu tanah adat telah diperuntukan hanya kepada kaum Dayak Sarawak sejak PRU13 lagi.  Orang biasa tidak mengetahui bahawa kaum Melayu Sarawak mempunyai hak adat dan hak tanah adat seperti kaum bumiputera Sarawak yang lain berdasarkan Perlembagaan Negeri Sarawak dan Ordinan Tanah Sarawak.  Bagaimanapun ahli parti politik sepatutnya arif tentang perkara ini, lebih-lebih lagi isu ini merupakan isu hangat dalam politik dan media sosial di Sarawak pada masa sekarang.

Bagi Melayu Sarawak isu hak adat dan tanah adat merupakan isu genting yang harus ditangani segera untuk menjamin satu harapan pada masa depan.  Pada masa ini hanya sebilangan kecil sahaja yang memiliki tanah.  Mungkin lebih tepat jika dikatakan Melayu Sarawak sekarang tiada tanah di tanah air sendiri.

Pengundi Paling Setia Kecewa Lagi

Pada 8 April 2018, BERNAMA telah melaporkan seorang sarjana penganalisa politik tanah air, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya telah menyedari bahawa Melayu Sarawak telah tercicir dan terpinggir dalam manifesto ini.  Beliau dipetik “mencadangkan supaya tumpuan juga diberikan terhadap rumah-rumah Kampung Melayu di Sarawak, selari dengan janji BN untuk menaik taraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah.”

Malang sekali Melayu Sarawak tidak dapat senyum, sebaliknya kecewa, dalam PRU14 ini berbeza dengan kaum lain di Sarawak.  Melayu Sarawak adalah penduduk kedua terbesar di Sarawak, iatu merupakan 23.4% daripada 2.4 juta penduduk Sarawak.  Mereka merupakan pengundi yang paling setia kepada BN sejak tahun 1963 lagi.  Melayu Sarawak merupakan penduduk yang sangat bertolak-ansur.  Melayu Sarawak jarang sekali menimbulkan masalah.  Melayu Sarawak lebih banyak berdiam diri. Tapi jangan sangka sungai yang tenang tidak ada bujang senang.

Bagaimanapun Melayu Sarawak tetap menaruh harapan pada Manifesto PRU14 Barisan Nasional Negeri Sarawak di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).