Pada 1 Januari 2018 tanpa dirancang aku telah terbeli sebuah buku karya Usman Awang, Kekasih yang berupa kumpulan puisi. Judul yang menarik ini dipadankan dengan kulit buku yang memaparkan lautan dan langit membiru dan bulan sedang mengambang yang diterbitkan oleh UA Enterprise Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2014.
Semasa bercuti hujung tahun bersama isteri di Kuala Lumpur, aku terpandang sebuah warung buku, Fixi di seberang tempat kami menikmati sarapan pagi di sebuah gedung membeli-belah. Aku telah mengenali Fixi selama dua tahun sebagai penerbit Indie.
Puisi Kekasih yang dijadikan judul buku ini sangat indah. Cuba baca petikan pendek di bawah ini:
Kekasih
Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu
akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang
menundungimu
Jika ingatanku tentang puisi di universiti masih bagus, di sini Usman Awang telah menggunakan hyperbole untuk fenomena biasa dengan sangat indah untuk mengambarkan seseorang yang sedang dilamun cinta.
Usman Awang merupakan seorang Sasterawan Negara yang sangat terkenal di kalangan generasi dari tahun-tahun 1960an sehingga 197an. Aku juga demikian. Tapi hanya sebagai tokoh sastera yang hebat dan tidak lagi dapat aku ingat karyanya yang pernahku baca dan nikmati.
Cebisan ingatan yang dapatku kumpulkan adalah nama pena, Tongkat Waran; sebuah novel, Tulang Berserakan dan teater, Udan dan Dara.
Setelah selesai membaca buku ini pada malam tadi, aku tersentak beberapa kali. Aku telah menggunakan beberapa bait hyperbole yang serupa dalam beberapa puisi dalam bukaku, Menunggu Laila (2016). Antaranya seperti menari tersangkut dan sejuta rasa.
Satu permulaan yang indah dalam tahun 2018.