Abang Johari buat kunjung hormat kepada Tun Dr.Mahathir

Dilema Negeri Sarawak: Keluar Barisan Nasional(BN) Atau Masuk Pakatan Harapan(PH)

Kerajaan Sarawak kini dalam dilema sama ada keluar Barisan Nasional (BN) atau masuk Pakatan Harapan (PH) selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU4) pada 9 Mei 2018 yang baharu lepas.  BN Sarawak bukan sahaja dalam delima tetapi dalam kegentaran jika gelombang tsunami Melayu tiba di pantai politik negeri Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 2 tahun lagi.  Sekarang perhatian tertumpu kepada Datu Patinggi Haji Abang Johari, Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi BN Sarawak dan juga Presiden dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kini Menjadi Malapetaka

Dengan kekalahan teruk yang tidak diduga sama sekali di  Semenanjung di tangan Pakatan Harapan (PH), BN kini akan mengisi kerusi pembangkang dalam Dewan Rakyat buat pertama kalinya dalam sejarah negara ini. Kerana Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUNS) tidak terlibat dalam PRU14 ini maka kerajaan negeri masih berada dalam tangan BN di bawah tunjang parti PBB.  Jika dahulu PRN berasingan menjadi satu kelebihan tetapi kini menjadi malapetaka.

Semenjak merdeka dalam Malaysia pada tahun 1963, parti-parti politik di Sarawak telah bersama dalam gabungan parti-parti politik di Semenanjung Malaysia bermula dari perahu layar, Perikatan yang kemudian digantikan dengan dacing, BN.

Sarawak terasa lebih terancam kerana tidak terlibat dalam pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri pada PRU14 ini, satu amalan sejak sekian lama lagi.  Dalam kedudukan ini, Sarawak akan menjadi “makanan” PH pada pilihan raya negeri yang mesti diadakan pada tahun 2021.

Keluar Atau Masuk

Jika kekal dalam BN maka segala dosa-dosa besar BN di Semenanjung akan hanya menjanjikan masuk neraka jahaman kehancuran politik.  Kerajaan PH di pusat semenjak hari pertama berkuasa telah membongkar dosa-dosa besar yang dilakukan oleh mantan Presiden UMNO dan Pengerusi BN bersama konco-konconya.  Bukan sekadar tuduhan salah guna kuasa dan korupsi dihebahkan di dalam negara ini tetapi juga di seluruh dunia.  Oleh yang demikian Abang Johari, yang belum lagi sampai 2 tahun meraih jawatan Ketua Menteri Sarawak, akan sukar memujuk pengundi menyokong BN kali ini.

Jika BN Sarawak masuk PH maka Abang Johari akan menghadapi kesukaran untuk membuka pintu rumah PH.  Antara sebabnya adalah cawangan parti-parti PH, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) telah menghebahkan bahawa mereka tidak sudi menerima BN sebarang tetamu Sarawak, khususnya PBB, masuk ke rumah mereka.

Video Tidak Sopan

Masih ada benteng pemisah antara PBB dan PH

Di samping itu juga semasa PRU14 Abang Johari dan calon-calon PBB telah berkempen cara tidak sopan dan keterlaluan walaupun pihak lawan sama dua kali lima juga. Contohnya beberapa video yang memuatkan kempen Abang Johari telah ditularkan dalam media masa dan Whatsapp selepas pengundian.  Abang Johari berani membuat kunjung hormat kepada perdana menteri baharu, Tun Dr. Mahathir Muhamad pada 31 Mei 2018 seperti yang dilaporkan dalam media sosial dan akhbar.  Bagaimanapun tujuan kunjung hormat tersebut tidak jelas walaupun terdapat banyak spekulasi, antaranya adalah PBB ingin masuk kerajaan PH.  Sehari selepas itu, Tun Dr. Mahathir membenarkan Petronas membawa Sarawak ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan hak ke atas minyak dan gas di Sarawak.

Belang Keberanian

Terdapat beberapa orang pemerhati politik negeri Sarawak berpendapat bahawa inilah masanya untuk menunjukkan belang keberanian dalam politik menjadi kerajaan negeri pembangkang.  Sebagai sebuah negeri yang ketiga terkaya di negara ini, Sarawak tidak perlu gentar.  Negeri Selangor, nombor satu terkaya dan Pulau Pinang, nombor 2 terkaya telah menunjukkan kejayaan selama 10 tahun yang lalu dan menang pula kali ini.

Pada masa inilah Abang Johari, yang meneruskan perjuangan mantan Ketua Menteri, Allahyarham Datu Patinggi Haji Adenan Satem, patut mengambil peluang menunjukkan taring kepimpinan yang telahpun terserlah dengan pelbagai tuntutan dan devolusi kuasa. Inilah masanya menuntut hak otonomi yang sebenar yang telah dihakiskan oleh birokrat di Kuala Lumpur dan yang paling besar adalah menuntut hak minyak dan gas dari Petronas.  Walaupun, seperti kata Tok Nan, Sarawak akan kekal dalam Malaysia buat selama-lamanya.

PBB: Tsunami Melayu dan Melanau

Logo Parti PBB.

Bagaimanapun adakah Abang Johari bersama PBB mampu menahan riak tsunami PH daripada menjadi gelombang tsunami dari Selat Melaka sampai ke pantai politik Sarawak? Seperti di Semenanjung, BN yang bermula dari Perikatan, telah memerintah Sarawak selama 55 tahun semenjak 1963 lagi. PH dan konco-konconya di Sarawak mencongak bahawa ini terlalau lama seperti juga UMNO yang berkuasa selama 60 boleh pecah dipukul gelombang tsunami Melayu sendiri.

PBB, tunjang BN Sarawak, merupakan sebuah parti Melayu (dan Melanau) kerana semua Melayu sama ada masuk PBB atau penyokong tegar PBB.  Semenjak kekalahn UMNO, PBB telah mendapat banyak kritikan dari pemerhati politik, sama ada orang tua, orang muda dan juga wanita.  Hampir semua bersetuju agar PBB melakukan penjenamaan semula (rebranding) atau penciptaan semul (reinvetion) ataupun melakukan reformasi.  Pada pandangan mereka kuman penyakit UMNO yang menyebabkan kekalahn telah menular ke PBB, mungkin kerana makan semangkok.  Tetapi PBB masih lagi dalam delima buat sementara untuk menghadapi tsunami Melayu dan mungkin juga Dayak dalam sayap Pesaka dalam PRN akan datang tidak lama lagi.  PH telahpun memukul canang perang.

Namun semakin sehari semakin jelas cabaran yang dihadapi oleh Abang Johari dan keputusan perlu diambli dalam masa terdekat untuk meleraikan persoalan sama ada keluar BN dan masuk PH.

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).