Demonstrasi Tanah Adat Sarawak 2017, Court House, Kuching, Sarawak

DAYAK DEMONSTRASI TANAH ADAT SARAWAK: APA HAK WARGA BUMIPUTERA LAIN?

Demonstrasi Tanah Adat Sarawak 2017, Court House, Kuching, Sarawak

Beberapa bulan ini warga bumiputera Iban masih hangat dengan isu Tanah Adat atau NCR (Native Customary Rights).  Pada 13 November 2017, semalam mereka melancarkan demonstrasi di beberapa tempat di Bandaraya Kuching Utara. Demonstrasi ini dianjurkan oleh SADIA (Sarawak Dayak Iban Association) seperti yang siarkan di akhbar, media sosial dan whatsApp.  Tinjauan yang dilakukan pada jam 10:30 pagi mendapati demonstrasi ini kurang mendapat sambutan.  Kelihatan juga beberapa orang Melayu yang memakai songkok.  Borneo Post hari ini menganggarkan hanya sekitar 1,000 orang sahaja yang menyertai demonstrasi ini.

Demonstrasi Tanah Adat Sarawak 2017, Court House, Kuching, Sarawak

Demonstrasi ini adalah kemuncak daripada demonstrasi yang lalu apa bila beberapa tuntutan penduduk Dayak di mahkamah telah kalah ditangan Kerajaan Negeri Sarawak.  Penduduk Dayak, khususnya Iban, bertegas bahawa “pulau galau” dan “pemakai menoa” mempunyai kuasa undang-undang.  Penelitian aktivis Iban mendapati bahawa masalah mereka ini hanya dapat diselesaikan dengan meminda Sarawal Land Code 1958.  Untuk berbuat demikian hanya Dewan Undangan Negeri sahaja yang boleh melakukan pindaan jika diluluskan oleh majoriti wakil ahli dewan tersebut.

Dewan Undangan Negeri sebenarnya sedang bersidang pada masa ini sehingga 17 November 2017 ini.  Segelintir penduduk Iban kecewa kerana pihak Kerajaan tidak membentangkan usul pindaan tersebut dan menambahkan kekecewaan mereka apa bila usul Yang Berhormat Bakelalan telah ditolak pula.  Pada khususnya mereka tidak berpuas hati kerana Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah, seorang Iban sendiri, yang telah dipertanggungjawabkan kelihatan belum mengambil tindakan yang diharapkan oleh mereka.

Mantan Yang Amat Berhormat(YAB) Ketua Menteri, Allahyarham Tok Nan dan sekarang  YAB Datuk Patinggi Abang Johari telah menyatakan mereka boleh menerima pandangan terhadap tuntutan ini.  Abang Johari telah menyatakan beberapa kali bahawa Kerajaan mahu melihat penyelesaian yang holistik dan menyeluruh kerana Sarawak Land Code 1958 bukan hanya mengenai Tanah Adat (NCR) penduduk Iban sahaja tetapi juga penduduk kaum lain, khususnya penduduk Melayu yang masih membisu.

Demonstrasi Tanah Adat Sarawak 2017, Court House, Kuching, Sarawak

Penduduk Melayu Sarawak yang mempunyai sejarah yang paling lama di Sarawak juga mempunyai Hak Tanah Adat (NCR) ini.  Harus diingat bahawa pada zaman Kesultanan Melayu Brunei dan Zaman Brooke pola penduduk Sarawak bertompok-tompok di kawasan geografi tertentu.  Contohnya orang Iban hampir semua mendiami kawasan hulu Batang Lupar dan Sungai Kapuas (sekarang dalam Indonesia) begitu juga penduduk Dayak yang lain.  Ini berbeza dengan orang Melayu yang mempunyai taburan penduduk di semua kawasan, termasuk kawasan pedalaman seperti Belaga, Skrang dan Marudi semasa Zaman Kesultan Brunei yang diberikan kuasa ke atas tanah dan penduduk lain.  Kuasa ini bertulis dalam dokumen yang dikenali sebagai tuli ataupun kuripan.  Fakta sejarah yang terbukti ini harus diambilkira dalam sebarang pindaan pada Sarawak Land Code 1958.

Kelihatan peserta demonstrasi bersongkok

Pendirian Kerajaan untuk melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum membuat pindaan terhadap undang-undang tanah adalah tindakan yang bijak.  Kerajaan harus mengambil kira Hak Tanah Adat (NCR) penduduk Melayu Sarawak dalam hal ini.  Jika tidak akan muncul pula rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Melayu yang sangat setia.

 

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).