Home / Blog / AWANG TENGAH LAYAK JADI TIMBALAN KETUA MENTERI: RAMALAN JADI KENYATAAN

AWANG TENGAH LAYAK JADI TIMBALAN KETUA MENTERI: RAMALAN JADI KENYATAAN

Awang Tengah bin Ali Hasan

YB DATUK AMAR AWANG TENGAH BIN ALI HASSAN telah diramalkan oleh akhbar-akhbar negeri dan nasional akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Berakhirnya tempoh berkabung selama 7 hari, YAB Datuk Amar Abang Johari bin Tun Abang Openg, Ketua Menteri Sarawak yang baharu, mempunyai tugas penting pada hari ini, 19 Januari 2017. Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri Ke-6 pada 13 Januari 2017, bertepatan pada hari Jumaat yang berkat, beliau harus merombak Kabinet Negeri Sarawak yang masih panas itu.

Kembalinya ke rahmatullah YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Adenan bin Haji Satem pada 11 Januari 2017 telah mencetuskan rentetan kekosongan dalam Kabinet Negeri Sarawak. Kabinet Negeri Tok Nan merupakan yang berani dan kontroversial itu memerlukan rombakan besar. Isu yang menjadi tanda tanya adalah siapakah yang akan dilantik untuk portfolio Timbalan Ketua Menteri?

Isu Timbalan Ketua Menteri boleh dilihat dari dua sudut pandangan. Pertama apakah YB Datuk Amar Tengah bin Ali Hassan akan mengisi kekosongan itu memandangkan hubungan beliau dengan YAB Datu Abang Johari dilaporkan renggang. Sudut pandangan yang kedua adalah timbulnya desakan dari parti SUPP seperti yang dilaporkan oleh media.

HANYA NAMA AWANG TENGAH SEORANG

Akhbar-akhbar di Sarawak telah meramalkan beberapa kali bahawa calon untuk memegang portfolio Timbalan Ketua Menteri adalah Awang Tengah seorang sahaja. Bila diajukan soalan ini beliau dilaporkan berkata bahawa tidak memikirkan hal tersebut tetapi akan menjalankan kerja sewajarnya jika diperlukan. Bagaimanapun sebagai pemimpin parti terkanan dalam sayap bumiputera sebagai Naib-Presiden Kanan PBB, beliau sangat layak dilantik ke jawatan lebih tinggi.

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau adalah orang yang awal menyokong Abang Johari supaya dilantik sebagai Ketua Menteri. Beliau dikatakan mementingkan perpaduan sayap bumputera daripada kepentingan peribadi. Jika Abang Johari melantik Awang Tengah menggantikan tempat beliau itu maka gelora pergeseran dalam sayap bumiputera PBB sejak kebelakangan ini akan berjaya diredakan.

DESAKAN SUPP

Sudut pandangan yang kedua tentang isu Timbalan Ketua Menteri adalah kemunculan desakan parti SUPP untuk portfolio tersebut. YAB Pehin Seri Abdul Taib bin Mahmud ketika ketika menjadi Ketua Menteri telah menggugurkan pemimpin SUPP. Sebab utamanya adalah kekalah teruk SUPP dalam Pilihan Raya Negeri 2003. Bagaimanapun atas usaha gigih Tok Nan pada pilihan raya yang lalu pada bulan Mei 2016, SUPP telah dapat merampas kembali 6 dari pada 12 kerusi. Di samping itu SUPP juga telah berpecah dengan penubuhan parti UPP.

PRS yang dipimpin oleh YB Tan Sri Dr. James Masing adalah parti kedua terkuat dalam Barisan Nasional Sarawak dengan 12 kerusi. Oleh yang demikian Tok Nan menghadiahkan portfolio Timbalan Ketua Menteri pada bulan Mei tahun lepas. Keputusan ini dilihat sebagai mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh SUPP. Justeru itu peluang SUPP adalah sangat tipis.

Tok Nan menghadiahkan PBB yang menang besar dengan mengwujudkan satu lagi Timbalan Ketua Menteri yang diberikan kepada Abang Johari. Jika dipandang kebelakang, tindakan Tok Nan itu adalah tindakan yang bijaksana.

Menteri Penuh Dari Sayap Bumiputera PBB

Jika Awang Tengah dipilih maka sayap bumiputera PBB akan mengalami rentetan pergerakan untuk seorang dilantik menteri penuh dan seorang lagi menteri muda. Siapakah yang akan dipilih oleh Abang Johari? Untuk menteri penuh nama-nama yang disebut adalah Datuk Mohd. Naroden Majais, Datuk Julaihi Narawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Rahman. Pemerhati politik Sarawak mengambil kira faktor usia sebagai terpenting. Sehubungan itu, Abdul Karim adalah yang termuda dan mempunyai peluang yang sangat cerah.

Menteri Muda Untuk Batang Saribas

Kesan rentetan seterusnya adalah melantik seorang Menteri Muda di kalangan YB sayap bumiputera. Pemerhati pollitik berpendapat bahawa salah seorang YB di lembah Batang Saribas harus diberikan jawatan tersebut. Di lembah ini terdapat penduduk Melayu kedua terbesar di Sarawak tetapi sering terpinggir tanpa wakil dalam Kabinet Negeri. Hari ini tiba masanya untuk Abang Johari menghargai sumbangan mereka.

Mewarnai Kepimpinan Abang Johari

Abang Johari mempunyai tugas berat dan penting hari ini. Keputusan beliau menyelesaikan isu kekosongan dalam Kabinet Negeri pada hari ini sedikit-sebanyak akan mewarnai kepemimpinan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6.

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).

Check Also

Sarawak menolak dasar Maqasid Syariah Pakatan Harapan

Kuching, 29 Ogos 2019 (SNN) – Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Hj. Abang Johari …

Leave a Reply