Batu tanda makam Allahyarham Datu Patinggi Abang Hj. Abdul Ghafur di Melaka

Abang Johari Ziarahi Makam Datu Patinggi Hj. Abang Abdul Ghafur di Melaka: Kezaliman Brooke (Bhgn. 3, Akhir)

Keratan dari manuskrip kitab Sharif Masahor

Bahagian 3, Akhir

Kebangkitan Ketiga Dari Pontianak

Kegagalan dalam dua kebangkitan tidak melemahkan semangat dua orang pemimpin ulung Sarawak. Beberapa bulan selepas kegagalan kebangkitan yang kedua itu mereka telah bertemu semula dan membuat persiapan untuk kebangkitan yang ketiga. Tidak siapa menduga Abdul Ghafur telah berjaya melepaskan diri dari kawalan Brooke dan tinggal di Pontianak, ibu kota Kesultanan Pontianak di sebelah barat Borneo dan memang sudah wujud jalan hutan dan jalan laut ke Kuching, Sarawak. Beliau telah mampu berhubung dengan rakannya, Sharif Masahor yang telah pulang semula ke Sarikei yang masih menjadi takluk jajahan Kesultanan Brunei pada tahun 1860.

Seperti yang mereka bincangkan Sharif Masahor telah memanggil beberapa orang pembesar Melayu dan Iban ke Sarikei membincangkan rancangan mereka dan berakhir dengan persetujuan semua untuk mengusir penjajah James Brooke dari bumi Sarawak. Sebagai strategi pertama, Sharif Masahor telah mengarahkan pengikutnya seorang Iban untuk menyamar sebagai Pengiran Temenggong dari Kesultanan Brunei yang telah dititahkan supaya penduduk Melayu dan Dayak berdekatan dengan pekan Kuching bangkit memberontak menentang James Brooke. Beliau dikatakan berjaya membangkitkan semangat penduduk yang menjadi sasaran mereka seperti yang dilaporan oleh Charles Brooke sendiri:

“The people’s mind had been prepared fro this false prophet to oppose the present government of Sarawak. The countries he had passed through were now in an excited state, and drilled with every kind of false report. Some of the headmen declared they were ready to live and die in support of the imposter’s claim …. [The kris] in his possession was for the purpose of cutting all the white men in Sarawak.

Kegiatan yang serupa telah dirancang perlu dilakukan juga di Pontianak dan seterusnya bertemu dengan Abdul Ghafur di sana untuk memimpin penduduk dari sebelah barat menuju ke Kuching melalui jalan darat dalam hutan tebal. Dalam masa yang sama pula Sharif Masahor dengan pengikutnya akan menggunakan perahu menyerang Kuching dari laut.

Pengiran Matusin Bocorkan Rahsia

Charles Brooke ketika itu sebagai Pemangku Rajah

Kerajaan Sarawak pada ketika itu adalah di bawah tanggungjawab Charles Brooke dan sebenarnya penduduk pekan Kuching telah mendengar berita serangan tersebut. Sesungguhnya penduduk Kuching telah tahu tentang rancangan tersebut tetapi Charles Brooke dan pegawai dan penduduk Eropah enggan mempercayainya setelah mereka dua kali gagal. Charles Brooke menulis:

[A] report came to me the Datu Hadji had been concerting plan with a Sibuyau Dyak chief, to be in readiness at a certain time with his people, to amok into the fort of Sarawak [Kuching], and take the heads of all those who resisted. The same Dyak who had been heard to say, on several occasions, that the white men would not remain long as leaders; he attended supporting the Datu Hadji and Brunei Rajahs against the rule of strangers.

Charles Brooke kali ini mengarahkan semua pegawai dan orang putih untuk bersiap sedia dengan senjata dan memohon penduduk Melayu yang setia supaya berjaga-jaga.

Bagaimanapun, sebelum Sharif Masahor dapat hilir ke Kuching dari Sungai Sarawak, seorang pro-Brooke, Pengiran Matusin dari Mukah telah sempat memecahkan rahsia serangan ini kepada Charles Brooke sebelum Sharif Masahor bertolak dari Sarikei. Maka pada bulan Februari 1860, Charles Brooke dengan serta merta mengumpulkan sebuah skuadron bersenjata dan berjaya mematahkan serangan Sharif Masahor di muara Sungai Sarawak. Angkatan Sharif Masahor berundur ke Sungai Sadong sebelum dibedil. Sharif Masahor berjaya melepaskan diri tanpa sebarang kecederaan walaupun pengikutnya ramai yang tewas.

Buang Negeri Ke Melaka dan Singapura

Dalam pada itu Abdul Ghafur dan rakan Iban telah mengalami kesukaran juga apabila mereka ditawan oleh pemerintah Belanda di Pontianak; pemimpin Iban itu telah dihantar ke Batavia (Jakarta sekarang) sedangkan Abdul Ghafur telah dihantar ke Kuching. Tidak lama selepas itu Abdul Ghafur telah dibuang negeri ke Melaka manakala Sharif Masahor pula ke ke Singapura.

Batu tanda makam Allahyarham Datu Patinggi Hj. Abang Abdul Ghafur

Abdul Ghafur dikatakan telah tinggal di Umbai, Melaka. Brooke telah dengan kejam memisahkan seorang pemimpin dengan keluarga dan rakyat untuk mengambil semula hak yang telah dirampas oleh orang asing. Begitu malang sekali, Abang Abdul Ghafur tidak berkesempatan pulang ke tanah airnya sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1875. Beliau telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Gambon, Pantai Klebang, Limbongan Melaka.

Bagaimanapun semangat perjuangan mereka untuk membebaskan Sarawak tetap terus menyala. Dengan jalan laut yang boleh digunakan dari Singapura, Sharif Masahor telah mencuba beberapa kali menyerang kerajaan Brooke dari Pontianak. Di Singapura beliau pernah berkhidmat dengan Sultan Johor, khususnya di Istana Kampung Glam, Singapura dan pernah terlibat dalam Perang Muar dan menjadi tukang perahu.  Betapa hina dan deritanya pejuang Sharif Masahor.  Beliau juga telah meninggal dunia tanpa sempat menebus maruahnya sebagai orang buangan pada tahun 1890.

Pascaskrip: Kenapa Masih Banggakan Brooke Yang Zalim?

Zainal bin Latif, seorang piut Abang Abdul Ghafur bertemu dengan Sanib Said, 2008

Perjuangan Abdul Ghafur dan Sharif Masahor sebagai pemimpin yang bermaruah tidak rela kuasa yang hak dirampas oleh seorang penjajah warga negara British. Untuk menebus maruah dua orang pejuang bangsa ini, kita harus memaparkan kezaliman Brooke yang telah membuang negeri mereka yang mengakibatkan keluarga mereka terpisah sehingga ke akhir hayat mereka. Jika orang British sendiri tidak berasa bangga atas perbuatan mereka, maka kita tidak harus membanggakan Brooke.

Perjuangan Abdul Ghafur dan Sharif Masahor bukan sekadar cerita dua buah keluarga semata-mata.  Mereka berkorban untuk menegakkan kebenaran dan hak daripada diceroboh, dirampas dan dipijak oleh penjajah Brooke.  Di peringkat keluarga mereka telah berkorban jiwa dan raga mereka dan dipisahkan dari keluarga mereka.  Di buang negeri di negeri orang sangat menyiksakan keluarga mereka.  Keturunan mereka tersiksa, mencari-cari kerabat mereka yang telah lama hilang.

Keturunan Sharip Masahor Datang Dari Holland

Tulisan saya tentang Sharip Masahor pada tahun 1980 telah membawa seorang prempuan orang putih tua bertemu dengan saya pada tahun 1983.  Beliau datang dari Holland dan menceritakan bahawa dia adalah keturunan Sharif Bujang yang berkahwin dengan Dayang Fatimah, anak Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur.  Rupanya salah seorang anak perempuan Sharif Bujang dan Dayang Fatimah telah berkahwin dengan seorang tentera British di Singapura pada akhir abad ke-19.

 Abang Abdul Ghafur Dipisahkan Selama 157 Tahun

Apa bila saya berkhidmat di Jabatan Muzium Sarawak, Dr. Zainal Latip, seorang keturunan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur dari Semenanjung telah datang berkunjung pada tahun 2008.  Beliau menceritakan bahawa beliau adalah keturunan pejuang Melayu Sarawak yang dibuang negeri ke Melaka oleh Brooke.  Beliau adalah di antara ahli keluarga di Semenanjung yang menganjurkan kunjungan YAB Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari ke Melaka pada bulan 13 Ogos 2017.  Dengan itu terjalinlah tali persaudaraan dan kekeluargaan yang terpisah selama 157 tahun kerana kezaliman Brooke.

TAMAT

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).