Abang Johari dan ahli keluarga menziarahi makam Allahyarham Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghafor, Melaka

Abang Johari Ziarah Makam Datu Patinggi Hj. Abang Abdul Ghafor di Melaka: Kezaliman Brooke (Bhgn. 1)

Abang Johari dan ahli keluarga menziarahi makam Allahyarham Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghafor, Melaka

Mungkin tidak ramai orang mengetahui bahawa Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mewarisi darah seorang pejuang, Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghafor bin Abang Qahar. James Brooke sangat takut dan gerun dengan Abang Abdul Ghafor sehingga beliau dibuang negeri ke Umbai, Melaka pada tahun 1860. Inilah kezaliman penjajahan Brooke yang tidak boleh dipadam dalam sejarah Sarawak.

Datuk Amar Abang Johari bersama-sama ahli keluarga terdekat telah menziarahi makam Allahyarham Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghafor di Melaka pada 13 Ogos 2017. Makam Allahyarham terletak di Tanah Perkuburan Islam Tok Gambon, Kampung Limbongan, Melaka. Ratusan orang keturunan Allahyarham yang kini tersebar di banyak negeri telah turut serta dalam acara ziarah tersebut bersama-sama Abang Johari.

Kezaliman Brooke dan Warga Negara British

Jika orang berkata penjajahan Brooke tidak boleh dipadamkan dalam sejarah Sarawak, maka kezaliman Brooke juga tidak boleh dipadamkan dalam sejarah Sarawak. Brooke telah melakukan kezaliman dan kerosakan yang banyak dan tidak layak menjadi pujaan rakyat pribumi Sarawak dahulu dan sekarang.

Brooke adalah penjajah sebenar kerana Brooke adalah pemegang warga negara dan paspot British. Brooke bukan berjuang sehidup semati dengan rakayat Sarawak kerana apabila telah berusia tua mereka akan pulang ke negara mereka sebenar, iaitu Britain dan meninggal dunia di tanah air tumpah darah mereka dan bukan di negeri kita, Sarawak.

Brooke Merampas Kuasa Melayu

Sebagai penjajah, Brooke telah merampas kuasa pemimpin pribumi Melayu dan rakyat pribumi. Sebagai perampas mereka wajib ditentang. Pemimpin pribumi yang sejati harus menentang penjajah orang asing. Oleh yang demikian pemimpin dan rakyat pribumi Sarawak telah dipimpin oleh Sharip Masahor dan Abang Abdul Ghafor menentang penjajahan Brooke. Mereka telah membangkitkan gerakan menentang Brooke dari tahun 1850 hingga 1860. Kebangiktan ini dikenali dalam buku sejarah negeri Sarawak sebagai The Malay Plot.

Semasa membuat penyelidikan bagi ijazah MA di Universiti Malaya pada tahun 1977, saya telah memperihalkan semula peristiwa penting ini. Apa bila tesis ini diterbitakan oleh Oxford Unversity Press pada tahun 1985, The Malay Plot kekal menjadi bahagian penting. Pada tahun 2016 saya telah menterjemahkan buku ini dan di bawah ini saya salin semula peristiwa penting ini untuk tatapan dan iktibar khalayak maya pada masa ini.

Kebangkitan Melayu, The Malay Plot

Beberapa orang pembesar Melayu di Sarawak bertekad tidak akan membiarkan James Brooke bermaharajalela dan berasa megah dengan muslihat yang telah menjadikan beliau seorang raja di Sarawak.   Pada tahun 1853, 1857 dan 1860 mereka telah bersepakat merancang kebangkitan untuk mengusir James Brooke dan menghapuskan kerajaan asing itu. Pemimpin-pemimpin Melayu ini terdiri Datu Patinggi Abang Abdul Ghafor di Kuching dan Sharif Masahor di Sarikei yang sebenar telah diambil untuk berkhidmat di bawah James Brooke. Mereka mengisafi muslihat James Brooke menawarkan mereka jawatan pentadbiran supaya mereka akur dengan beliau dan mendapatkan sokongan mereka menentang pengaruh Kesultanan Brunei.

Datu Patinggi Haji Abang Abdul Ghafor

Arca gangsa wajah Datu Patinggi Ali

Abdul Ghafor adalah salah seorang pemimpin Melayu yang menentang Pengiran Indera Mahkota Muhammad Salleh pada tahun 1837; beliau kemudian telah diselamatkan dan dilantik semula ke jawatan-gelaran beliau walaupun ditentang oleh puak pengiran dari Kesultanan Brunei. Beliau adalah menantu Datu Patinggi Ali, pembesar Melayu yang tertinggi sejak turun-temurun. Pada tahun 1844, Datu Patinggi Ali telah terkorban semasa menyertai angkatan perang James Brooke menyerang penentang, bagi beliau, di Putusan dan ekoran daripada itu Abdul Ghafor telah diangkat sebagai pengganti dan telah diberi gelaran-jawatan Datu Patinggi yang beliau pegang sehingga tahun 1854.

Dalam masa yang sama Datu Patinggi Haji Abdul Ghafor adalah imam pertama Masjid Besar Sarawak dari tahun 1851 hingga 1854. Beliau telah dilucutkan gelaran-jawatan Datu Patinggi oleh James Brooke kerana disyaki terlibat dalam rancangan menumbangkan kerajaan dinasti Brooke pada tahun 1853.

Sharif Masahor

Arca gangsa wajah Sharif Masahor

Sharif Masahor adalah sahabat karib Datu Patinggi Haji Ghafor dan kemudian menjadi adik ipar beliau. Latar belakang tokoh ini masih terselidung kurang diketahui. Adalah dipercayai Sharif Masahor telah lahir di Igan, sebuah takluk jajahan Kesultanan Brunei yang subur dengan pohon rumbia itu. Pada tahun 1849 Sharif Masahor telah dilantik oleh Kesultanan Brunei menjadi gabenor di Sarikei menggantikan Datu Patinggi Abdul Rahman. Pada tahun 1851 dilaporkan bahawa beliau telah menjadi abang ipar Datu Patinggi Haji Abdul Ghafor apabila adik beliau, Sharif Bujang, telah berkahwin dengan Dayang Fatima. Perkahwinan ini sesungguhnya tidak digemari oleh James Brooke yang memandang serong terhadap tindak-tanduk pembesar Melayu.

Sharif Masahor dipandang oleh James Brooke dan pegawainya sebagai seorang yang karismatik dan berwibawa di kalangan orang Melayu dan Iban; malah ramai mempercayai bahawa beliau mengamalkan ilmu ghaib yang hebat seperti yang terkandung dalam sebuah manuskrip tulisan beliau. Walaupun dalam keadaan yang tegang, beliau masih boleh menghampiri musuhnya dengan penuh mesra.

bersambung … Bhgn. 2, Rabu 23 Ogos 2017

 

 

 

 

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).