Home / Blog / ABANG JOHARI LAYAK JADI KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

ABANG JOHARI LAYAK JADI KETUA MENTERI SARAWAK KE-6

YB Datuk Amar Abang Johari

 

SIAPAKAH YANG AKAN MENJADI KETUA MENTERI SARAWAK YANG KE-6? Inilah isu panas yang tercetus apabila Yanng Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem meninggal dunia dua hari yang lalu pada 11 Januari 2017.

Ada tiga nama yang muncul dari Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak. Mereka adalah YB Datuk Amar Hj. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Hj. Openg, YB Datuk Amar Hj. Awang Tengah bin Ali Hassan dan YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Warga Melayu Resah

Sejurus berita pemergian Tok Denan, media sosial telah menularkan YB Datuk Amar Douglas sebagai Pemangku Ketua Menteri Sarawak. Jika diamati pengumuman-pengumuman yang disiarkan oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah menyebut tentang isu panas ini. Ramai peminat media sosial di kalangan warga Melayu terperanjat dan wasangka. Ada juga Yang Berhormat sendiri mempercayai berita itu. Orang Melayu didapati resah kerana pemimpin mereka belum lama menjadi Ketua Menteri.

Khabar Angin Sebagai Pemangku Ketua Menteri

Menjelang malam 11 Januari pihak Astana telah menyiarkan kenyataan rasmi menafikan tentang kedudukan Douglas Uggah sebagai Pemangku Ketua Menteri Sarawak. Mereka yang mengetahui tentang Perlembagaan Negeri Sarawak maklum bahawa pelantikan Ketua Menteri hanya boleh dilakukan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Penafian dari Astana telah menenangkan keresahan penduduk Melayu.

Bagaimanapun isu pelantikan Ketua Menteri yang baharu mesti dilakukan dengan segera mengikut semangat Perlembagaan Negeri Sarawak. Kenyataan seorang ahli Majlis Tetinggi PBB di akhbar menimbulkan semula keresahan rakyat dengan mengatakan bahawa PBB akan mengambil masa sesuka-hatinya untuk bermesyuarat dan memilih Ketua Menteri yang baharu. Ternyata seperti tidak ada usaha mengatasi isu panas ini dengan segera berlandaskan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Ketua Menteri Baharu Dilantik Segera

Keresahan ini telah diredakan dengan berita utama pagi ini, 13 Januari 2017 dalam Borneo Post. Berita itu telah memetik pandangan seorang pakar tentang Perlembagaan Negeri Sarawak. Beliau mengatakan bahawa Ketua Menteri yang baharu mesti dilantik dengan segera. Tanpa Ketua Menteri bererti Sarawak tidak ada kerajaan dan seterusnya tidak boleh melaksanakan sebarang dasar dan tugas yang digalas oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Katanya juga Kabinet Menteri telah menjadi sekadar penjaga sementara dan barisan kabinet yang baharu mesti dilantik di bawah kehendak Ketua Menteri baharu.

Awang Tengah, Abang Johari dan Adenan

Pengganti Tok Denan mesti dilantik segera. Tetapi siapakah yang layak dipilih dan dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-6? Semasa YAB Pehin Seri Abdul Taib Mahmud mengundur diri pada 27 Februai 2014 formula yang dikatakan digunakan adalah Formula 4A, iaitu hanya nama bermula dengan abjad “A” sahaja yang layak. Mereka adalah Alfred Jabu, Adenan, Abang Johari dan Awang Tengah. Yang dipilih adalah Adenan.

Formula 4A Douglas Tergugur

Apakah Formula 4A boleh digunakan kali ini? Jika digunakan maka Douglas secara automatik tergugur dengan sendirinya. Yang tinggal adalah Abang Johari dan Awang Tengah untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-6. Persoalannya dalam isu panas ini siapakah yang lebih layak dilantik sebagai Ketua Menteri? Pada tahun 2014 Awang Tengah dari Daerah Lawas dikatakan berjaya mendahului Abang Johari disebabkan berbagai-bagai faktor dalaman Sarawak dan luar Sarawak.

Awang Tengah, Abang Johari, Douglas Uggah

Adakah Awang Tengah masih dapat mempertahankan kedudukannya pada ketika ini sebagai calon teratas, bukan di tengah lagi? Satu analisis harus melihat perubahan yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri 2016 dan pembentukan kabinet berikutnya. Walaupun Awang Tengah telah menang tanpa bertanding untuk sekian kalinya, satu kelebihan yang tiada pada pesaingnya. Bagaimanapun kabinet Tok Adenan telah memberi kesan yang tidak positif kepada beliau apabila Abang Johari dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri. Ini adalah satu kejutan kepada penganalisis politik Sarawak.

Tok Denan Yakin Dengan Abang Johari

Semenjak itu Awang Tengah kurang lagi memainkan peranan dalam acara-acara rasmi kerajaan dan kurang menadapat liputan akhbar. Peranan ini telah berpindah kepada Abang Johari. Bagaimanapun Awang Tengah layak dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri. Insyaa Alah pada masa mendatang mampu menjawab dan mengakhiri Formula 4A dalam politik negeri Sarawak.

Kabinet baharu Tok Denan telah yakin dengan Abang Johari dan telah beliau manfaatkan sepenuhnya. Walaupun Abang Johari pernah menewaskan Tok Denan dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PBB, namum baik hati Tok Denan terserlah dengan pelantikan Abang Johari sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Mereka juga adalah dari kampung yang sama, Kampung Bandarshah, Kuching walaupun Abang Johari sebenarnya lahir di Limbang yang berkembar dengan Daerah Lawas.

Abang Johari Dilantik Jadi Ketua Menteri Sarawak

Dengan kedudukan yang tinggi itu serta penguasaan akhbar dan media, Abang Johari telah berjaya memantapkan ketokohannya. Di samping itu pada masa kini Abang Johari adalah pemimpin terkanan dalam PBB. Berbagai-bagai krisis politik telah ditempuhi termasuklah Krisis Ming Court pada tahun 1987 yang dianggap krisis politik terbesar dalam sejarah Sarawak. Pada masa itulah Abang Johari menunjukkan kepimpinannya yang teguh dan tegas untuk setia bersama Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dan PBB. Di samping itu iman kesabaran Abang Johari merupakan kepribadian yang harus disanjung dalam menghadapi krisis dan dugaan politik.

Insyaa Allah, iman kesabaran Abang Johari akan diberkati untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6 dalam masa terdekat ini.

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).

Check Also

Sarawak menolak dasar Maqasid Syariah Pakatan Harapan

Kuching, 29 Ogos 2019 (SNN) – Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Hj. Abang Johari …

Leave a Reply