8 Perkara Kita Mesti Tahu Tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia

APA BILA YAB DATUK PATINGGI ADENAN SATEM, Ketua Menteri Sarawak ke-5 pada tahun 2014 membangkitkan soal devolusi kuasa Kerajaan Persekutuan dengan kuasa Kerajaan Negeri Sarawak maka antara dokumen yang dirujuk adalah Perjanjian Malaysia 1963. Ketua Menteri Sarawak yang ke-6, Datuk Patinggi Abang Zohari Abdul Rahman Tun Abang Openg atau Abang Jo, meneruskan tuntutan mengembalikan kuasa negeri Sarawak dengan cara perundingan yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Abdul Razak.

Bagaimanapun mulai pada 29 November 2017 telah tercetus pertelagahan antara dua orang pemimpin iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan YAB Datuk Patinggi Abang Johari, Ketua Menteri Sarawak tentang apa yang dinamakan MA63 (Malaysia Agreement/Perjanjian Malaysia).

Pada 28 November 2017, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid telah melancarkan buku tulisan Pandikar Amin berjudul, Berpisah Tiada, seperti yang dilaporkan membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.

Apa yang menjadikan panas adalah kata-kata Pandikar Amin semasa pelancaran itu yang dipetikan sebagai berkata bahawa semua negeri dalam Malaysia mempunyai taraf sama-rata. Dalam lain perkataan taraf negeri Sarawak dan Sabah serupa dengan negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Malaysia. Tafsiran ini bertentangan dengan pendirian sebilangan pemimpin dan penduduk Sarawak dan Sabah.

Pertelagahan ini jika diteliti berpunca dari soalan wartawan yang mentafsir bahawa Pandikar Amin tidak melihat Perjanjian Malaysia sebagai dokumen penting apa bila bertanyakan pendapat Abang Johari. Mulai dari masa banyak pemimpin, media sosial dan parti politik di Sarawak memarahi Pandikar Amin. Kemudian diikuti oleh beberapa pihak Sabah sendiri mencabar beliau.

8 Perkara kita mesti tahu tentang Perjanjian Malaysia 1963.

1. Tidak ada dokumen perjanjian berjudul MA63 yang sering diertikan sebagai Malaysia Agreement 1963.

Dokumen ini telah digubal dalam dua bahasa, Inggeris dan Melayu dengan judul seperti berikut:

Bahasa Inggeris:

” MALAYSIA

AGREEMENT CONCLUDED BETWEEN THE UNITED KINGDOM OF GREAT BRITAIN AND NORTHERN IRELAND, FEDERATION OF MALAYA, NORTH BORNEO, SARAWAK AND SINGAPORE”

“The United Kingdom Of Great Britain And Northern Ireland, Federation Of Malaya, North Borneo, Sarawak And Singapore;

Desiring to conclude an agreement relating to Malaysia:”

Bahasa Melayu:

“The United Kingdom Of Great Britain And Northern Ireland, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura;

Oleh kerana hendak membuat suatu perjanjian berkenaan dengan Malaysia; Bersetuju seperti berikut:”

2. Dokumen ini sangat ringkas, hanya mengandungi 1)11 Perkara atau Articles dalam dua bahasa; 2) Tandatangan pihak yang terlibat; 3) Annex A – K

3. Perjanjian ini tidak ada menyebut membentuk atau masuk Malaysia. Istilah yang digunakan adalah “perjanjian berkenaan Malaysia”. Dalam Bahasa Inggeris pula ” Desiring to conclude an agreement relating to Malaysia; Agree as follows:”

4. Adakah Sarawak (dan Sabah) koloni atau negeri yang istimewa dalam perjanjian ini?

Perkara I:

“Tanah2 Jajahan Borneo Utara dan Sarawak danNegeri Singapura hendak-lah disekutukan dengan Negeri2 Persekutuan Tanah Melayu yang ada sekarang sa-bagai Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura mengikut surat2 perlembagaan yang di-kembarkan kepada Perjanjian ini dan Persekutuan itu kemudian daripada itu hendak-lah di-namakan ‘Malaysia’.”

Jelas di sini bahawa tidak ada keistimewaan Sarawak dan ini juga terdapt dalam dokumen Pengisythiraan Malaysia, 16 September 1963.  Keistemewaan yang ada ialah tentang 18 perkara yang berjaya dirundingkan oleh Sarawak seperti yang dicatatkan dalam IGC Report (Inter-Governmental Report). Sarawak tidak membuat memorandum tuntutan seperti Sabah yang menghantar 20 Pekara Tuntutan.

5. Tidak adalah istilah “membentuk” ataupun “masuk” Malaysia digunakan dalam perjanjian ini.

Perjanjian ini mengunakan istilah atau perkataan “hendaklah di-sekutukan dengan Negeri2 Persekutuan Tanah Melayu yang ada sekarang …” dan dalam Bahasa Inggeris pula: ” … shall be federated with the existing States of the Federaton of Malaya …”. Dalam ertikan lain tiada perbezaan tentang taraf negeri-negeri dan bukan juga menyertai Persekutuan Tanah Melayu.

6. Perkara II mementerai bahawa apa bila Malaysia rasmi menjadi sebuah persekutuan pada 31 Ogos 1963 seperti yang dijadualkan maka hari “di gelar ‘Hari Malaysia'”.

Jika diteliti tidak ada disebut tentang hari merdeka pada tarikh tersebut.

7. Annex A – K adalah lebih tebal dari perjanjian sendiri yang menurunkan perincian tentang kuasa dan pentadbiran yang kemudian digubal ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

Perincian di sini sangat penting sama ada semuanya telah dipatuhi dalam jentera pentadbiran, khususnya jabatan-jabatan Persekutuan di Sarawak.

8. Sesungguhnya Perjanjian Malaysia ini adalah dokumen yang sangat penting.

 

Sumber:

J.C. Fong, Constitutional Federalism in Malaysia, Thomson Sweet & Maxwell, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia, 2008.

Sanib Said, Malay Politics in Sarawak, 19466-1966, Oxford University Press, Singapore, 1985.

Facebook Comments

About sanibsaid

Majored in History from from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).