Home / Blog / PENGGANTI TOK NAN DI TANJUNG DATU: PEREBUTAN ANTARA DUA WANITA

PENGGANTI TOK NAN DI TANJUNG DATU: PEREBUTAN ANTARA DUA WANITA

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Tanjung Datu

TEMPOH MENGHITUNG HARI MENCARI pengganti Allahyarham Tok Nan bagi DUN Tanjung Datu hampir berakhir. Tetapi PBB sebagai parti yang memiliki kawasan ini belum mengumumkan calonnya. Pembangkang telah mengaku kalah dan tidak berani meletakkan calon mereka seperti dilaporkan oleh media. Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 4 Februari 2017 dan hari mengundi pada 18 Februari 2017.

TOK NAN TINGGALKAN DUA ORANG WANITA

Dari sudut pandangan lain isu calon bukan kerana sukar mencari seorang  winnable candidiate tetapi kerana terdapat perebutan antara dua orang wanita. Allahyarham Tok Nan meninggalkan dua orang wanita. Beliau telah berkahwin dua kali sepanjang hayatnya. Wanita pertama yang menjadi isteri beliau adalah Datin Aisah Mahmud; mereka telah bercerai beberapa dekad yang lalu. Wanita kedua adalah Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Anu yang berada di sisi beliau sehingga hembusan nafas terakhir.

DATIN AISAH MAHMUD
Aisah kelihatan bersama Douglas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak  dalam satu majlis di Kuching.

Wanita yang pertama, Datin Aisah adalah adik kepada Tuan Yang Terutama Pehin Seri Abdul Taib Mahmud. Perkahwinan ini melahirkan tiga orang zuriat; dua orang perempuan iaitu Siti Rafidah dan Hayatie Hamidah serta seorang lelaki bernama Abdul Aziz, 44 tahun. Anak lelaki bongsu inilah yang turut disebut-sebut sebagai pengganti ayahnya bagi DUN Tanjung Datu. Tidak banyak diketahui tentang Aisah selepas bercerai dengan Tok Nan pada tahun 1980an. Beliau muncul semula di Sarawak dengan Yayasan Pillars/The Pillar Foundation yang ditubuhkan pada tahun 2010.

DATIN PATINGGI DATUK AMAR JAMILAH ANU
Adenan, Azizul Annuar dan Jamilah

Wanita yang kedua, Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah berasal dari Buso, Bau dari sebuah keluarga polis. Jamilah merupakan graduan dari Institut Teknologi MARA. Beliau adalah adik kepada Datuk Sapuan Anu, mantan Pengarah, Jabatan Pertanian. Perkahwinan ini telah dikurniakan sepasang cahaya mata, Aziza Jasmin dan Azizul Annuar, 26 tahun. Lulusan bidang ekonomi dari Murdoch University, Western Australia ini juga disebut-sebut sebagai pengganti ayahnya bagi DUN Tanjung Datu.

LOBI DALAM FACEBOOK DAN VIDEO
Video melobi

Perebutan antara dua wanita mulai ketara pada minggu lepas apabila Siti Rafidah memaparkan pandangannya di Facebook pada 24 Januari 2017. Secara terus terang Siti Rafidah menulis bahawa yang sepatutnya menggantikan ayahnya bagi DUN Tajung Datu adalah anak lelaki yang tertua, iaitu Abdul Aziz. Pada 26 Januari 2017 pula tersebar video berjudul Untuk Ayahanda Tercinta: Almarhum Tan Sri Adenan Satem, judul yang kurang tepat. Video ini hanya menayangkan keluarga dari wanita pertama tanpa sebarang imej dari keluarga wanita kedua.

PASANGAN MENJUS DAN RAPEH
SUKMA 2016

Wanita kedua, Jamilah mungkin tidak perlu melobi untuk anaknya, Azizul Annuar, menjadi pengganti ayahnya Tok Nan. Satu ungkapan pernah merumuskan di belakang seorang pemimpin ada seorang wanita. Sepanjang Allahyarham Tok Nan menjadi wakil rakyat di Muara Tuang dan Lundu, Jamilah bersama-sama turun padang menemui rakyat di kampung-kampung dan pekan-pekan yang kadangkala menempuhi jalan sukar. Jamilah juga miliki jiwa rakyat tanpa protokol.

Jika Tok Nan menjus, maka Jamilah rapeh. Dari sumber yang rapat dengan keluarga wanita kedua ini, Jamilah sangat gemar memasak sendiri untuk menjamu tetamu di rumahnya dan masakan beliau terkenal lazat dan berkhasiat. Rumah mereka sentiasa terbuka untuk rakyat jelata, termasuk solat berjemaah malam Jumaat yang diadakan setiap minggu.

WANITA YANG PALING DICINTAINYA

Bagi Tok Nan, Jamilah adalah wanita yang paling dicintai dan dihargainya. Mendendangkan lagu cinta istimewa untuk Jamilah sangat menyentuh perasaan pendengar dalam majlis-majlis yang dianjurkan. Mengapa Tok Nan sangat mencintai Jamilah? Mengikut sumber yang rapat dengan keluarga ini sejak 1985, Jamilah telah bersama Tok Nan menempuh ranjau politik dan dugaan kesihatan beliau.

Semasa Tok Nan dipinggirkan dalam politik dari tahun 2006 sehingga 2011, Jamilah sentiasa bersama beliau. Empat tahun adalah tempoh yang sangat panjang tetapi mereka tetap setia kepada PBB. Dan tetap bersama rakyat di kawasannya dan bersama-sama sahabat- sahabat setianya yang tidak begitu ramai.

TETAP SABAR DAN GIGIH

Semasa Tok Nan jatuh sakit serius, Jamilah tetap sabar dan gigih menempuh dugaan yang tersangat berat ini. Jamilah menjemput sahabat – sahabat setia berjemaah di bilik tidur sedang Tok Nan terlantar. Untuk menghibur dan memberi semangat Tok Nan, Jamilah akan meminta Tok Nan senyum kepada sahabat-sahabatnya yang datang. Jamilah tidak pernah putus asa untuk mencari ikhtiar supaya suami tercintanya sembuh dan sihat untuk meneruskan tugas dan kewajipannya kepada DUN Tanjong Datu.

JALAN TENGAH
LUNDU, 25 April — Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (empat, kiri) menjulang tangan calon BN N3 Tanjung Datu, Tan Sri Adenan Satem bersama Puan Sri Jamilah (tiga, kanan).

Jika PBB sukar untuk membuat keputusan memilih pengganti Tok Nan dari kalangan anak lelakinya, maka Jamilah adalah jalan tengah yang paling tepat. Pengorbanan Jamilah untuk suaminya sehingga sembuh dan mampu untuk menjadi pemimpin Sarawak yang terhebat, patut dibalas dengan sewajarnya dengan mencalonkan beliau bagi DUN Tanjung Datu. Jamilah layak diberikan penghargaan sebagai pengganti Tok Nan kerana telah menjaga seorang pemimpin yang terhebat untuk Sarawak dari awal perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayat Allahyarham.

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).

Check Also

Sarawak menolak dasar Maqasid Syariah Pakatan Harapan

Kuching, 29 Ogos 2019 (SNN) – Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Hj. Abang Johari …

Leave a Reply