PBB tunjang Kerajaan Negeri Sarawak

3 Sebab Kritikal Mengapa Melayu Sarawak Beri Amaran Kepada PBB

ADA 3 SEBAB MENGAPA MELAYU SARAWAK kini berani memberi amaran kepada PBB (Pesaka Bumiputera Bersatu).  Melayu Sarawak yang bernaung di bawah parti PBB dengan setia untuk menjamin kuasa politik di tangan mereka kini berani mengkritik PBB selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Rayan Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.  Walaupun PBB masih kuat sebagai sebuah parti, namum rakan gabungannya di Sarawak telah kehilangan banyak kerusi. Mereka yang lazimnya diam dan patuh mempunyai sebab kritikal dan terbuka, khususnya ditujukan kepada pemimpin Melayu dalam sayap Bumiputera.

Hasil dari analisa sumber-sumber di dalam media sosial, Whatsapp dan juga portal berita telah merumuskan 3 sebab kritikal untuk dipedulikan oleh semua lapisan kepimpinan PBB, termasuk sayap Pemuda PBB.

#1.Kerana Sayang PBB

Sebenarnya Melayu Sarawak sangat sayang dengan PBB kerana inilah satu-satunya wadah politik tempat mereka berhidup semenjak bersatu pada tahun 1966 dalam sebuah parti tunggal, Parti Bumiputera yang menjadi satu sayap dalam PBB.  Mereka bersatu setelah berpecah-belah akibat kancah politik serahan selama 20 tahun dari tahun 1946 lagi yang mengakibatkan mereka kehilangan kuasa politik.

Melayu Sarawak telah bigung apabila BN kalah di peringkat pusat di tangan Pakatan Harapan (PH) setelah memegang Kerajaan Persekutuan dan Negeri semenjak merdeka pada tahun 1957.  Kekalahan yang memeranjatkan ini dilihat sebagai pukulan maut kepada parti tunjang BN, iatu UMNO.  Abang tua dalam dunia Melayu, UMNO telah kecundang kerana seperti seekor ikan yang telah busuk sehingga ke kepala.  Malangnya tidak tercium oleh orang dalam parti sendiri, khususnya para pemimpin teringgi.  Sedangkan bau busuk ini bukan setakat dalam negara malah telah merebak ke antero dunia.

Walaupun UMNO tidak dibenarkan masuk ke Sarawak, berbeza dengan Sabah, namum parti lawan di Sarawak yang berasal dari Semenanjung, DAP dan PKR, sangat takut dengan UMNO.  Mereka sering mengaitkannya dengan PBB untuk menanam kebencian terhadap PBB, khususnya Melayu dan Islam.   Melayu Sarawak bimbang penyakit yang menyebabkan UMNO nazak telah menjangkiti PBB yang akan membawa padah pada PRN akan datang.

Untuk mengatasi sebab ini Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak dan juga Presiden PBB, Abang Johari telah mengambil tindakan berani dengan keluar dari BN pada 12 Jun 2018.  Pada masa yang sama beliau juga mengumumkan penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Ini merupakan tindakan untuk membuat perubahan besar dan sekaligus memisahkan Sarawak dari kepala ikan UMNO yang telah sangat busuk itu.  Ini adalah tindakan untuk menyekat pengaruh luaran sahaja.

Sayap Bumiputera – Abang Joahri, Presiden PBB bersama Awang Tengah, Timbalan Presiden PBB

Dalam pada itu kedengaran suara yang berani memberi amaran supaya PBB segera melakukan muhasabah diri sebelum dilanda musibah.  Sebenarnya niat mereka adalah untuk menyelamatkan PBB dari lemas dihempas gelombang Tsunami Melayu-Islam dan mengelakkan nasi menjadi bubur seperti yang kini disesali abang mereka di seberang lautan itu.

Amaran ini tular di media sosial dan Whatsapp seperti tulisan Anak Melayu dan Sharifah Sakinah Syed Alwi.  Tulisan wanita muda ini disiarkan oleh FMT dengan judul, “Is PBB Still Relevant?” .   Sharifah Sakinah menulis, “Utilise all the time and resources you have left to win the hearts and minds of the rakyat. Do not let your arrogance be your downfall as it was for Umno. Start by actually listening to the people, not just your advisers.

Oleh yang demikian PBB mesti melakukan  perubah dan membuat rombakan supaya kekal relevan untuk menghadapi PRN akan datang dan kekal menerajui Kerajaan Negeri Sarawak.  Yang terpenting pemimpin mesti turun padang melihat dan mendengar sendiri pengundi setia ini.

#2. Tsunami Melayu-Islam

Sebab yang kedua, dikhuatiri gelombang Tsunami Melayu-Islam yang telah berjaya di Semenanjung akan sampai memukul pantai politik Sarawak pada PRN akan datang pada tahun 2021. Harus diingat juga oleh kerana Malaysia tiada iklim bermusim maka tidak ada Arab-Islam Spring, sebaliknya ada Tsunami Melayu-Islam, yang dilancarkan oleh Barat sebagai gerakan anti-Islam di seluruh dunia yang bertopengkan demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan.  Dengan berbagai-bagai bentuk propaganda, berita palsu yang sengaja ditularkan oleh cybertrooper melalui media sosial ke pelbagai gajet. Sebilangan besar generasi Y sememangnya sangat gemarkan media sosial dan Whatsapp setiap masa.

Tujuan propaganda dan berita palsu adalah bertujuan untuk menanam kebencian dan perbalahan terhadap kerajaan, agama dan nilai masyarakat Melayu dan agama Islam. Bermula dengan perbahasan bernas, kononnya dalam rangka kebebasan bersuara tentang isu-isu pokok agama dan budaya tetapi akhirnya menjadi perbalahan yang melahirkan aliran pemikiran dan perjuangan yang berbeza.  Apabila perbalahan terjadi maka akan terus dikipas menjadi  Tsunami Melayu-Islam yang memberikan hempasan maut kepada BN di Semenanjung.

Pergerakan Wanita PBB

Keadaanya hampir serupa di mana pengundi Melayu merupakan benteng bangsa Melayu dan agama Islam untuk berkuasa dari tahun 1957 di Semenanjung dan semenjak 1974 di Sarawak.  Di Semenanjung walaupun ada Tsunami Melayu-Islam tetapi bilangan orang Melayu adalah majoriti maka Melayu terus memegang Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr.Mahathir Muhamad kini memimpin PH walaupun terpaksa berkongsi dengan seterunya lama, DAP.

Jika gelombang Tsunami Melayu-Islam berjaya menyeberangi Lautan China Selatan ke Sarawak maka PBB akan menerima nasib yang serupa dengan UMNO pada PRN akan datang. Generasi lama besar kemungkinan akan tetap setia kepada PBB tetapi generasi Y yang terdedah kepada hasutan propaganda melalui media sosial dan Whatsapp akan berubah.  Beberapa sumber yang boleh dipercayai memerhatikan bahawa generasi Y telah ramai turun mengundi pada PRU14.  Pengundi tua yang setia itu semakin berkurangan kerana ramai juga yang telah meninggal dunia sedangkan saban tahun pengundi generasi Y akan sentiasa bertambah. Oleh kerana sangat kritikal PBB rajin melakukan pendaftaran.

Pada masa dahulu generasi Y tidak berminat dalam politik dan tidak endah mengundi. Generasi X ini bukan sahaja anak muda kampung dan anak muda bandar yang terpinggir tetapi meliputi jua generasi Y golong profesional dan berkelayakan IPT.  Mereka ini tinggal bersama ibubapa kelas menengah di taman perumahan yang jarang dipedulikan oleh parti dan memerlukan pendekatan khas.  Beberapa sumber mendedahkan permohonan golongan profesional untuk menjadi ahli PBB tidak mendapat sebarang balasan langsung.  Mereka berasa sangat kecewa dengan PBB.  Generasi Y yang tinggal di luar bandar dan pinggiran bandar juga mesti diberi perhatian dengan pendekatan tersendiri juga.  Oleh itu jika PBB tidak berubah maka PBB akan rebah. Ertinya generasi Y perlu dipedulikan, khususnya oleh Pemuda PBB menjadi benteng menghadapai Tsunami Melayu-Islam.

#3. Perpaduan Bukan Masalah

Pada masa sekarang politik retorik telah menjadi kaedah zaman batu.  Menjaja air liur basi tidak berkesan lagi.  PBB mesti memahami erti masalah sebenar yang harus diselesaikan untuk dinikmati oleh rakyat jelata.  Apakah masalah sebenar masyarakat Melayu Sarawak pada masa ini? Apakah perpaduan dan kesetiaan Melayu Sarawak selama ini menjadi punca masalah?  Jawapannya –  perpaduan dan kesetiaan Melayu Sarawak bukan masalah semenjak tahun 1966 lagi. Jika adapun hanya di kalangan para pemimpin tertinggi yang berebut kuasa.

Sebaliknya PBB harus terus membalas budi masyarakat Melayu Sarawak dengan menyelesaikan masalah dan isu yang mereka hadapi.  Memang diakui PBB, khususnya para menteri, telah menyelesaikan beberapa masalah mereka tetapi masih banyak lagi yang belum selesai.  Masyarakat Melayu Sarawak masih banyak menghadapi masalah keperluan asas di kampung dan juga di pinggiran bandar di seluruh negeri Sarawak yang luas ini.

Masalah terbesar yang sekian lama menghantui masyarakat Melayu Sarawak adalah masalah pemilikan tanah.  Mengikut sumber yang boleh dipercayai pada tahun 1996 hanya 1% yang miliki tanah dan 99% tiada tanah.  Masalah ini bukan sahaja di bandar tetapi yang aneh menjadi wabak di luar bandar di mana penduduk berjumlah puluhan ribu bersesak dalam kawasan yang kecil di pinggir sungai dan pesisir pantai.

Sanib dan BAHAM di sidang akhbar di Hikmah, Kuching, Sarawak (Hiasan)

Pembangkang boleh merumuskan betapa tidak adil keadaan ini di mana sebuah negeri yang terbesar penduduk kedua terbesar menjadi warga tiada tanah di tanah air sendiri. Sebenarnya PKR telah menggunakan masalah tanah dalam masyarakat Melayu Sarawak dalam PRU14 untuk memikat dan memanaskan hati pengundi Melayu.  Kelihatan undi mereka telah meningkat.

Memang diakui pihak Kerajaan Sarawak melalui PBB telah lama bertindak dengan pembesaran kampung namun keadaan masih boleh dikatakan sangat tenat.  Adalah dibimbangi akan terjadi suatu keadaan nasi menjadi bubur, too little too late.

Gambaran penderitaan ini bertambah parah apabila saudara bumiputera lain memiliki lebih dari 800,000 hektar tanah adat dan itupun masih belum mencukupi.  Masalah tanah yang sangat kritikal ini sedang mendidih panas dengan isu hak adat bumiputera mengenai Pemakai Menoa Pulau Galau (PMPG), khususnya bagi masyarakat kaum Iban.

Masalah kemudahan asas yang kritikal seperti masalah pembekalan air bersih yang saban tahun pada musim kemarau adalah penderitaan yang tanggung oleh masyarakt Melayu Sarawak di pesisir pantai dan kawasan legeh sungai.  Sungguh sedih sekali mendapati perkampungan Melayu yang dikelilingi oleh air di lautan dan sungai yang besar tidak ada bekalan air untuk keperluan harian. Dalam hal ini Abang Johari telah mengumumkan peruntukan jutaan ringgit untuk tindakan segera.  Apa yang penting jentera pentadbiran mesti bertindak segera untuk rakyat dan bukan mencongak pemberian kontrak pula yang diutamakan. Yang penting penyelesaian sampai dan dinikmati oleh pengundi setia Melayu ini.

Bagaimanapun ada lagi masalah dalam masyarakt Melayu Sarawak.  Antara masalah itu adalah masalah sosial seperti ketagihan dadah, keciciran dan pengangguran di kalangan generasi Y.  Masalah ketagihan dadah ini telah menjadi wabak dari Lawas hingga ke Samariang. Di luar bandar dan bandar peluang pekerjaan semakin sedikit. Contohnya di luar bandar pekerja di ladang kelapa sawit adalah ribuan pekerja asing sedangkan belia di kampung lepak menggangur.  Salah siapa? Malas atau penindasan golongan buruh?

Masih Ada Esok Untuk PBB

PBB pasti juga sayang kepada pengundi setia ini dan tidak rela diambil oleh parti-parti dari PH pada PRN akan datang ini. PBB masih ada masa untuk hari esok, masih belum terlambat, nasi belum jadi bubur lagi.  Masih ada masa untuk mendirikan benteng menahan gelombong Tsunami Melayu-Islam yang sedang bergelora menuju pantai politik Sarawak, khususnya PBB.  PBB mesti bertindak dan dirombak sekarang.  Semoga masih ada hari esok untuk PBB. Dan masih ada yang sayang pada PBB.

Facebook Comments

About sanibsaid

Studied History as my major from the University of Malaya, in particular history of Sarawak for BA, MA and PhD. My writings come from the English literature and my stories are from history. I have written several books, among them are Malay Politics in Sarawak (Oxford, 1985); Melayu Sarawak: Sejarah Yang Hilang (UNIMAS, 2013; 2nd ed. Saramedia, 2016).